Kedudukan Kedah. Ini Jawapan Exco Hasil Meeting Dengan MB Malam Tadi

| February 26, 2020 | 0 Comments

Kedudukan Kedah. Ini Jawapan Exco Hasil Meeting Dengan MB Malam Tadi | Kemelut politik peringkat nasional turut memberi kesan kepada kerajaan negeri Kedah. Malam tadi berlangsung pertemuan dengan MB Kedah dan ini jawapan exco. Baca selanjutnya.

Setakat Ni Semua Baik Baik Sahaja

Exco Kedah yakin satu keputusan yang terbaik untuk rakyat Kedah akan diputuskan dalam masa terdekat.

Halimaton Shaadiah Saad yang juga Ketua Srikandi penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah, berkata, perbincangan kesemua Exco Kedah bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berlangsung dalam suasana tenang.

“Setakat ini, semuanya baik-baik sahaja. Untuk rakyat Kedah, kita buat yang terbaik,” katanya, ketika ditemui selepas selesai majlis perjumpaan sepuluh Exco Kedah bersama Mukhriz di Seri Mentaloon, malam ini.

Mukhriz mengadakan perjumpaan tertutup bersama barisan Exco Kedah selama hampir dua jam, buat pertama kali selepas negara berdepan kemelut politik semasa sehingga menyaksikan Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH).

Barisan Exco Kedah dianggotai dua Exco Bersatu, empat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), tiga Exco dari Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP (1).

Manakala Exco dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zamri Yusuf berkata, kesemua Exco Kedah hadir dalam perjumpaan itu, dan disusuli dengan perjumpaan kedua pagi esok.

“Perjumpaan bersama semua Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan diadakan esok pagi, untuk kita bincang lagi,” katanya.

Dalam pada itu, difahamkan sejurus selesai perjumpaan bersama kesemua 36 ADUN Kedah, Mukhriz dijadual mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Dewan Seri Melor, Seri Mentaloon untuk mempersembahkan cadangan pembentukan kerajaan negeri.

Ia susulan Bersatu tidak dapat membentuk kerajaan negeri sendiri selepas tidak lagi bersama PH.

PH Kedah yang dianggotai PKR, Amanah dan DAP memiliki sebanyak 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu (PKR-7, Amanah-4, DAP-2) berbanding Pas (15) dan Barisan Nasional (2).

Mukhriz Akan Hadap Sultan Hari Ini (27-2-2020)

MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengadakan pertemuan bersama barisan EXCO Kedah di kediaman rasminya di Seri Mentaloon di Alor Setar malam tadi.

Pertemuan yang berlangsung lebih dua jam itu, dipercayai bagi membincangkan kedudukan kerajaan negeri susulan perpecahan Pakatan Harapan (PH) dan peletakan jawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beberapa EXCO dilihat memasuki Seri Mentaloon pada 8.45 malam sebelum meninggalkan pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar secara berperingkat pada 11 malam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri Datuk Zamri Yusuf berkata, satu perjumpaan bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dijadual berlangsung pada 8 pagi hari ini.

“Esok pagi (hari ini) ada perjumpaan lagi dengan Menteri Besar dan semua ADUN. (Perjumpaan) Malam ini semua EXCO datang.

“Esok ada perjumpaan lagi, kita akan bincang lagi,” katanya ketika ditemui ketika meninggalkan Seri Mentaloon.

Mukhriz Mahathir ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) malam tadi. Foto AmranHamid

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Halimaton Saadiah Saad, berkata, situasi ketika ini adalah tenang dan baik.

“Setakat ini semua baik, untuk rakyat Kedah kita buat yang terbaik,” katanya ringkas.

Difahamkan, Mukhriz dijadual menghadap Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Badlishah pagi hari ini, sebelum mengadakan sidang media khas di Seri Mentaloon pada 11 pagi.

Sumber: Sinar Harian

Tags: , , , , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *