Berdepan peluang terakhir mempertahankan diri, Datuk Seri Najib Razak bakal mengemukakan kekhilafan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi serta tindakan pendakwaan menafikan hak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Kes SRC Najib. 'Ini' Tarikh Rayuan Terakhir Sabitan Yang Diumum

Keadaan itu dianggap menyebabkan ketidakadilan serius apabila bekas Perdana Menteri itu mendakwa gagal mendapatkan perbicaraan adil dan saksama.

Perkara itu akan dibentangkan Najib melalui peguamnya esok, bersandarkan 94 alasan mengapa beliau harus dibebaskan daripada tujuh tuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Dalam petisyen rayuan difailkan April lalu, Najib membangkitkan alasan Mahkamah Rayuan terkhilaf melalui fakta dan undang-undang dalam mengesahkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadapnya bagi semua tuduhan dan memutuskan supaya dia dipanggil membela diri.

Terkilan kesilapan serius fakta

Ahli Parlimen Pekan itu terkilan dengan kesilapan serius fakta dan undang-undang yang diputuskan kedua-dua mahkamah berkenaan dalam alasan penghakiman masing-masing secara keseluruhan dan berpendirian bahawa penemuan keseluruhan alasan penghakiman menunjukkan kesilapan yang serius.

Najib menyatakan, Mahkamah Rayuan tersilap dalam fakta atau undang-undang ketika menge- sahkan dapatan fakta atau inferens Mahkamah Tinggi yang tidak dibuktikan sepenuhnya, selain tidak menggambarkan keterangan secara menyeluruh.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib.

Beliau didapati bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram dana SRC International.

Rayuan akhir yang ditetapkan selama sembilan hari itu menarik perhatian seluruh dunia dan sehingga kini, 114 pemberita, jurugambar dan juruvideo media tempatan dan antarabangsa sudah mendaftar untuk mengikuti prosiding berkenaan.

Surat daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 28 Julai lalu kepada firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) yang baru dilantik Najib, menyatakan mahkamah akan mendengar rayuan berkenaan mengikut tarikh ditetapkan sebelum ini.

Melalui surat itu, Mahkamah Persekutuan menegaskan tiada penangguhan akan dibenarkan dan pihak berkaitan dikehendaki mengambil langkah sewajarnya serta bersedia bagi pendengaran rayuan akhir terbabit.

Bagaimanapun, peguam Najib difahamkan akan mengemukakan permohonan lisan untuk menangguhkan rayuan selepas panel hakim Mahkamah Persekutuan selesai mendengar hujahan berhubung permohonan notis usul bagi memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir berkenaan.

Pada 7 Jun lalu, Najib melalui notis usul memohon mahkamah menimbangkan supaya diadakan perbicaraan semula berikutan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendengar perbicaraan dan mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan, didakwa sengaja gagal mendedahkan peranannya dalam Maybank Investment melalui Bina Fikir Sdn Bhd berkaitan penubuhan SRC.

Melalui afidavitnya, Najib berkata, keterangan dan perkara baharu itu adalah relevan bagi mahkamah menimbangkan isu undang-undang serius yang dibangkitkan dan beliau turut mencabar pihak pendakwaan atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan afidavit daripada pegawai berkaitan untuk menafikan dakwaan itu.

Dokumen baru ditemui

Najib tidak meletakkan penegasan itu dengan ringan kerana ia dibuat berdasarkan dokumen yang baru ditemui dan beliau bersama peguam sudah menelitinya dengan berhati-hati.

Pada 25 Julai lalu, Najib memberhentikan khidmat peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan firma Tetuan Shafee & Co dan melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) serta barisan peguam baharu diketuai Hisyam Teh Poh Teik dan Liew Teck Huat serta Rueben Mathiaravanam, sebagai peguam bersama.

Dalam prosiding rayuan akhir kelak, pendakwaan diwakili barisan timbalan pendakwa raya diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk V Sithambaram.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply