Langgar Perintah Berkurung, Lelaki Maut Didenda 300 ‘Squat-Thrust’| Niat seorang lelaki yang mahu membeli sebotol air di sebuah kedai ketika peritah berkurung dijalankan mengundang padah apabila ia didenda melakukan 300 ‘squat-thrust’ sehingga mengorbankan nyawanya.
Manila: Seorang lelaki maut didakwa selepas melakukan senaman ‘Squat-Thrust’ sebanyak 300 kali akibat daripada melanggar perintah berkurung semasa pandemik Covid-19 di Filipina.
Menerusi laman Daily Mail, Darren Manaog Penaredondo, 28, meninggal dunia pada 3 April selepas dua hari menerima hukuman itu kerana ditangkap membeli sebotol air dari sebuah kedai di bandar General Trias di pinggir ibu kota Manila pada jam 6 petang.
Rakan mangsa, Reichelyn Balce memberitahu, Penaredondo hanya pulang ke rumah pada keesokan harinya (jumaat) jam 8 pagi kerana tidak dapat berdiri dan berjalan kerana melakukan 300 kali ‘squat-thrust’ tanpa henti.
“Saya bertanya adakah dia dipukul, dia hanya tersenyum tapi jelas dia mengalami kesakitan.
“Dia tidak mampu berdiri, merangkak di lantai kerana kaki dan lututnya terlalu sakit,”kata Balce.
Ketika Penaredondo hendak ke bilik air, dia tiba-tiba diserang sawan namun berjaya diselamatkan menerusi bantuan pernafasan (CPR).
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal pada jam 10 malam pada hari jumaat di rumahnya.
Sepupu mangsa, Adrian Lucena mengumumkan berita kematian Penaredondo di Facebook dengan menulis. “Kami sangat menyanyangi kamu. Kami tidak akan membiarkan mereka yang bertanggungjawab terlepas daripada hukuman”.
Sementara itu, Ketua Polis, Leftenan Kolonel Marlo Solero akan melakukan siasatan terperinci mengenai berhubung kejadian itu.
Beliau juga menafikan hukuman ‘squat-thrust’ adalah hukuman kepada orang yang melanggar perintah berkurung pada malam 1 April.
“Jika polis terbabit memberikan hukuman itu, pihak kami tidak akan berkompromi dan akan menyiasat perkara tersebut,”katanya.
Sumber: Sinar Harian