‘Lembaga Berselimut’ Curi Beg Jemaah Solat Subuh | Kelibat seorang pencuri menggunakan selimut untuk menyembunyikan identiti berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) Surau Kampung Indah, Bahau, di sini, pagi semalam.

Curi Beg Jemaah Lelaki

Dalam kejadian tersebut, seorang warga emas, Abdul Rahman Salimap, 68 menyedari begnya tiada dan kehilangan dokumen penting termasuk kad bank serta wang tunai RM150 selepas beg silang miliknya di curi lelaki ‘berselimut’ ketika solat subuh, di surau itu.

Menurut anak tirinya, Rafika Fitri Masweldi, 33, bapanya itu sering menunaikan solat lima waktu di surau berkenaan dan kejadian itu merupakan kejadian kelima membabitkan jenayah curi dan pecah tabung surau di situ.

“Kejadian kira-kira pukul 6 pagi, ketika itu ayah jadi imam dan ada jemaah wanita di belakang tabir, bagaimana pun ayah sedar ada kelibat belakangnya namun beranggapan ada jemaah lain datang hendak solat.

“Selesai solat, beg yang diletakkan di tepi sudah hilang, lalu ayah memaklumkan perkara itu kepada imam sebelum memeriksa CCTV,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Lelaki Berselimut Tutup Muka

Berdasarkan perkongsian rakaman CCTV yang di muat naik Rafika Fitri di Facebook, memaparkan seorang lelaki dilihat masuk ke dalam surau dengan menutup muka dan badannya menggunakan kain dipercayai selimut.

Lelaki berkenaan kemudiannya mencapai beg silang di bahagian tepi surau sebelum keluar.

Menurut Rafika , selain kad bank dan wang tunai, turut berada dalam beg berkenaan adalah lesen memandu, kad pengenalan serta beberapa dokumen lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Sumber : Kosmo

Baca Juga Artikel Menarik Ini :

Tiga Penyamun Pecah Masuk Rumah Hanya Untuk Curi Makanan

Tiga Penyamun Pecah Masuk Rumah Hanya Untuk Curi Makanan | Kuching: Sekumpulan tiga penyamun memecah masuk sebuah rumah di Jalan Stampin Tengah, di sini, Sabtu lalu hanya untuk mencuri makanan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, hasil dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di rumah berkenaan mendapati, tiga suspek bertopeng dikesan menceroboh bahagian dapur kira-kira 6 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit mencuri pelbagai jenis makanan dari rumah berkenaan.

“Hasil maklumat risikan, kira-kira 5.20 pagi semalam pasukan Task Force Counter AggresiveTeam (CAT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menahan seorang suspek yang disyaki terbabit dalam kes itu.

“Hasil semakan mendapati suspek memiliki empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Ahsmon berkata, saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Menurutnya, polis turut menemui sembilan peralatan memecah rumah antaranya tukul, pemotong besi, playar, pemutar skru, pengumpil, gunting dan parang.

“Ketika ini polis sedang giat mengesan dua lagi suspek yang masih bebas,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun, denda serta sebat.

Sumber : HM

Baca Juga Artikel Ini :

Suami Isteri Ditahan Slps Tular CCTV Cuba Pecah Tabung Masjid

Suami Isteri Ditahan Slps Tular CCTV Cuba Pecah Tabung Masjid| DUNGUN – Sepasang suami isteri ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan cubaan mencuri dan memecah tabung Masjid Kuala Abang di sini pada minggu lalu.

Suspek lelaki berusia 26 tahun dan isterinya berumur 23 tahun tersebut disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 6 dan 8 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, imej disyaki kelibat kedua-dua suspek telah dikesan menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang diperiksa ahli jawatankuasa masjid tersebut pada Jumaat lalu.

“Berdasarkan rakaman CCTV, suspek lelaki disyaki mengunjungi masjid tersebut untuk memecah tabung pada pukul 10.14 pagi, 6 Jun dan 2 pagi, 8 Jun lalu, manakala suspek wanita pula dilihat membantu suaminya memecah tabung berkenaan namun usaha mereka gagal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Terdahulu, video berdurasi 2 minit 4 saat yang memaparkan cubaan dua individu dipercayai suami isteri terbabit cuba memecah tabung Masjid Kuala Abang tular di media sosial.

Baharudin berkata, hasil ujian urin terhadap kedua-kedua suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis metamfetamin manakala isterinya pula negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 akta sama.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply