KEMAMAN – Pengorbanan bapa sampai hujung nyawa. Kata-kata itu tepat bagi menggambarkan tindakan seorang buruh yang sanggup menggadai nyawa demi menyelamatkan anak lelakinya yang hampir lemas di Lubuk Tapeng, Sungai Kemaman berhampiran Kampung Air Putih di sini kelmarin.
Mayat Mohd. Mirwan Mohd. Remli, 40, ditemui pada pukul 10.23 pagi semalam kira-kira 16 jam selepas hilang dibawa arus deras sungai berkenaan.
Menurut isteri mangsa, Haryati Sulaiman, 36, berkata, luluh hatinya melihat kesungguhan suaminya yang mahu menyelamatkan anak mereka, Muhammad Zafran Aidil, 12, yang hampir lemas di lubuk tersebut pada pukul 1.45 tengah hari kelmarin.
“Kami sepatutnya pulang ke rumah di Kampung Batu 9, Ibok di sini selepas suaminya selesai memancing, tetapi dia tidak sampai hati melihat anak-anak masih belum puas mandi sungai.
“Tidak semena-mena anak kami (Muhammad Zafran Aidil) dihanyutkan arus hingga ke tengah sungai. Suami bingkas terjun untuk menyelamatkan Muhammad Zafran,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian semalam.
Cerita Haryati, pada mulanya, suaminya dapat memaut badan Muhammad Zafran Aidil dan membawa anak mereka ke tebing sebelum dia pula dilihat kepenatan.
“Saya nampak suami tercungap-cungap sebelum tenggelam dalam sungai. Anak kami pula sempat berpaut pada dahan sebatang pokok yang terdapat di tebing sungai tersebut.
“Saya segera berlari meminta pertolongan daripada penduduk kampung sebelum pihak berkuasa sampai tidak lama kemudian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan memberitahu, mayat Mohd. Mirwan yang merupakan buruh ditemui kira-kira 30 meter dari lokasi terakhir dia hilang.
Mayat lelaki itu timbul di permukaan air selepas pasukan mencari dan menyelamat melakukan teknik kocakan air dengan olakan bot.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Sanggup Gadai Nyawa Demi ‘Content’, Remaja Parah Dilanggar Lori
Sebelum ini tular berkaitan aktiviti sekelompok golongan remaja yang sanggup menggadai nyawa demi ‘content‘ mendapatkan video untuk dipaparkan di media sosial.
Antara content berbahaya dilakukan adalah dengan berdiri di tengah jalan raya ketika lori besar sedang memecut laju dan cuba untuk mengelaknya.
Ramai sebelum ini yang mengecam tindakan kelompok remaja yang membahayakan diri sendiri dengan melakukan content sedemikian.
Terbaharu, aktiviti itu akhirnya mengundang padah apabila seorang remaja mengalami kecederaan selepas didakwa dirempuh sebuah lori ketika ingin membuat content tersebut.
Kejadian berlaku pada Rabu lalu di Jalan Raya Sukamanah Rumpin, Bogor, Indonesia dan sempat dirakam orang ramai yang berada di lokasi kejadian sebelum tular di media sosial.
Menerusi video tersebut, remaja itu dilihat sudah terbaring di tengah jalan raya dalam keadaan menahan kesakitan akibat dirempuh lori.
Individu yang merakam video itu juga memaklumkan yang remaja itu telah dilanggar sebuah kereta manakala rakan-rakannya yang turut bersamanya sebelum itu telah melarikan diri.
Difahamkan, mangsa kemudian telah dibawa oleh orang ramai ke hospital dan berada dalam keadaan stabil.
Sementara itu, warganet berharap supaya tragedi itu bukan sahaja menjadi pengajaran kepada kumpulan yang melakukan content sedemikian, tetapi juga kepada ibu bapa supaya dapat memantau aktiviti seharian anak-anak mereka.
Sumber: KMN