Mangsa Penipuan Ejen Penapis Air Koko | Assalamualaikum wbt. Sesunggunya waktu aku menaip confession ini, aku dilanda kebuntuan dan keresahan yang amat sangat. Sebagaimana yang kalian baca dan menduga dari tajuk, benar – aku adalah mangsa penipuan ejen penapis air yang agak popular Malaysia- Koko.

Aku perkenalkan diri aku dulu. Nama aku Uya, berumur 19 tahun dan
merupakan salah seorang penuntut tahun pertama diploma di salah sebuah
universiti terkemuka di Malaysia.

Aku dilahirkan dalam keluarga yang susah, yang menjadi salah satu sebab
kenapa aku boleh terjebak menjadi mangsa penipuan ini.

Segala-galanya bermula ketika cuti PKP yang lalu. Sekian lama terkurung
di rumah menyebabkan aku berhasrat untuk mencari sumber pendapatan
sampingan bagi membantu meringankan beban ayah aku yang tidak dapat
berniaga ketika musim PKP.

Aku didekati oleh seorang teman sekuliahku. Namanya Anis. Anis rancak
bercerita mengenai pendapatannya yang mencecah ribuan ringgit bahkan
belas-belas ribu ringgit kerana menyertai satu peluang perniagaan yang
agak berjaya.

Anis berulang-kali memujukku mengikuti jejak langkahnya. Katanya dia
faham aku kerana dia juga orang susah. Katanya lagi, peluang cuma
tinggal untuk dua orang sahaja lagi kemudian slot akan ditutup.

Hampir berhari-hari lamanya aku membuat pertimbangan sebelum akur dan
bersetuju. Itupun, kredit kepada Anis kerana aku percaya pada Anis. Anis
teman sekuliahku yang baik. Orang sebaik Anis mana mungkin menipuku.
Sudah pasti dia berniat membantuku.

Ketika aku menyatakan persetujuanku untuk menjalankan perniagaan yang
sama, Anis mengatakan setiap perniagaan sudah pasti ada MODAL.

Begitu juga perniagaan ini. Sebagai MODALnya, aku disayaratkan mengambil
dua barang dalam kategori house appliances dengan komitmen bulanan RM150
selama 5 tahun sebelum disahkan menjadi ejen KOKO.

Kata Anis, jangan risau, gaji aku mencapai RM4000 sebulan dan setelah
dua bulan, aku boleh melangsaikan hutangku sekelip mata dengan membuat
Early Settlement.

Silap aku juga kerana tidak bertanya lanjut bagaimana caranya untuk
mendapat gaji tersebut. Aku melulu bersetuju dan menyerahkan data
peribadiku.

Selang 3 hari, aku didatangi technician Koko yang datang bagi memasang
MODAL yang telah aku keluarkan (penapis udara dan periuk) yang bernilai
RM 150 sebulan selama 5 tahun. Jumlah keseluruhan RM 9000.

Setelah menerima barang dan menandatangani kontrak perjanjian yang
dibawa oleh technician tersebut, aku kini sah merupakan ejen KOKO.

Bermulalah pula detik bersemangat aku untuk mencari pendapatan RM4000
sebulan.

Kata Anis, kerja kami mudah. Kami tak perlu fokus menjual barang tetapi
kami hanya perlu merekrut orang bari untuk masuk dan untuk itu, orang
baru juga perlu membuat komitmen bulanan seperti kami.

Aku menuruti sahaja arahan Anis. Kata Anis, sembunyikan nama perniagaan
kita, jangan beritahu kita rekrut mereka untuk menjadi ejen KOKO.

Nanti kalau dah yakin mereka betul-betul berminat baru beritahu. Aku
juga tidak faham motif Anis tetapi aku menurut sahaja. Untuk mendapatkan
gaji RM 4000 sebulan, aku perlu konsisten merekrut minima 10 orang baru
sebulan.

Lupa untuk aku bercerita, Syarikat kami bernama D Legacy, anak syarikat
kepada KOKO.

Aku tak pasti sejauh mana kebenarannya kerana CEO kami menggunakan nama
samaran. Inipun aku ketahui setelah aku sedar aku ditipu. CEO
menggunakan nama samaran ZH. TH dan HH (hasil penyiasatan aku).

Dalam usaha untuk merekrut 10 orang sebulan, aku diajar dengan pelbagai
cara untuk menipu. Katanya tunjuk slip gaji, statement bank tipu dan
iklan-iklan pendapatan menipu dalam usaha mencari prospek untuk direkrut.

Ketika itu jugalah aku sedar aku juga telah ditipu dengan cara yang
sama. Aku nekad untuk tidak lagi merekrut siapa-siapa kerana aku tidak
mahu ada orang yang tertipu seperti aku. Semua temujanji dengan prospek
aku batalkan.

Oh ya, sebenarnya untuk menjadi ejen penapis air KOKO, tidak ada modal
yang perlu dikeluarkan dan ejen tidak perlu merekrut orang baru tetapi
cukup sekadar menjual barangan dan mendapat komisyen. Sungguh aku telah
tertipu!

Aku nekad memaklumkan kepada Anis aku ingin berhenti. Anis menjawab
dengan bersahaja,

“Boleh kalau Uya nak berhenti tapi Uya tetap kena bayar bulan-bulan ye
barang tu. Anis dah cuba bantu Uya dapatkan RM4000 sebula, Uya yang
taknak bantu diri Uya”

Bagaikan tamparan hinggap di pipiku. Aku mula tersedar yang aku kini
mempunyai hutang berjumlah RM 9000 di usia 19 tahun. Hancur dan punah
harapanku untuk membantu ibu bapaku. Aku rahsiakan hal ini dari mereka
bimbang mereka kecewa.

Keesokannya, aku menghubungi HQ KOKO dan memaklumkan yang aku ingin
terminate kontrak dan memulangkan barang memandangkan aku masih belum
menggunakan barangan tersebut.

HQ KOKO memaklumkan bahawa barang yang aku ambil adalah dua barangn di
bawah Good Plan, bermakna dengan cara apa sekalipun, kontrak tidak dapat
dibatalkan sehingga 5 tahun. Sekiranya kontrak dibatalkan, aku tetap
perlu membayar jumlah yang sama.

Aku menjadi dendam pada Anis. Aku tak sangka Anis sanggup mempergunakan
aku sebegini rupa. Mujurlah aku tak sempat memaksa sesiapa
menandatangani kontrak. Kalau tak sudah pasti mereka juga mendapat nasib
yang sama seperti aku.

Dua hari aku menangis berendam air mata tanpa henti. Selepas dua hari,
aku mula membuat pembacaan di internet.

Rupa-rupanya isu ini telah viral pada 20 Jun 2020 di laman Twitter. Aku
yang b*d*h kerana tidak begitu mengikuti perkembangan semasa.

Aku terbaca komen netizen mengatakan supaya siapa yang terkena buatlah
report kepada HQ KOKO kerana HQ KOKO dalam usaha untuk membanteras
perkara ini.

Aku langsung menyiasat identiti sebenar Z. Aku kumpulkan segala bukti
penipuan, rakaman suara, rakaman video dan semuanya aku kepilkan dalam
fail Google Drive.

Kemudian, aku membuat laporan polis. Aku serahkan semuanya kepada HQ
KOKO untuk siasatan dan tindakan lanjut. Setelah beberapa tempoh, aku
buat semua panggilan ke HQ untuk follow up.

Jawapan yang diberikan HQ KOKO sangat mengecewakan. Kata mereka, “Oh,
kami dah serahkan kes ini kepada Manager Z(orang yang sepatutnya
dikenakan tindakan) untuk disiasat”

Aku menjadi berang. Lantas aku persoalkan mengapa tidak diadili oleh
orang yang sewajarnya. Mereka hanya diam.

Sehingga kini, kes aku masih tiada penyelesaiannya. Manager Z (pangkat
yang diberikan kepada ejen yang berjaya mencapai target sale) masih giat
merekrut orang-orang baru. Lebih ramai pelajar yang menjadi mangsa
seperti aku.

Laporan demi laporan, aduan demi aduan yang aku kemukakan kepada KOKO
umpama menunggu surat cinta yang tak berbalas.

Sedarlah aku kini, mana mungkin KOKO akan mengambil tindakan kepada Z
kerana Z banyak buat sale, biarpun dengan cara merekrut orang baru dan
memaksa mereka mengambil barang namun, yang penting barang terjual.

Untuk aku pula, KOKO mencadangkan aku mencari orang yang sanggup
mengambil barang aku dan menukar hak milik. Sungguh aku kecewa dengan
tindakan KOKO.

Aku benar-benar buntu dan mengharapkan agar sesiapun dapat memberikanku
jalan keluar dan penyelesaian kepada masalah aku. Sesiapapun, tolonglah
aku! ARIGATO.

– Uya (Bukan nama sebenar)

 

Kredit: IIUM Confessions

 

Share.

Leave A Reply