PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bukan hanya beliau yang menolak gaji sebagai Perdana Menteri sebaliknya ia turut dilakukan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong menolak gaji yang diberikan kerajaan sejak negara dilanda pandemik Covid-19.

“Beliau (Yang di-Pertuan Agong) lebih awal dari saya dan tidak menerima gaji dari kerajaan sejak Covid-19. Jadi eloklah saya beri penjelasan ini.

“Itu sumbangan dibuat Yang di-Pertuan Agong memandangkan masalah ekonomi yang menekan kehidupan rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan tidak akan mengambil gaji sebagai Perdana Menteri malah, semua Jemaah Menteri juga bersetuju menerima potongan gaji sebanyak 20 peratus sebulan.

Sumber: Kosmo

 

Baca Juga: Zahid Minta Muhyiddin Berhenti Meroyan Tak Dapat Jadi PM, Hormat Keputusan Agong

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin yang disifatkan tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu selepas dilihat bertindak mempertikaikan segala pelantikan yang dibuat dalam Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, Muhyiddin dan sekutunya perlu berasa malu, kerana dilihat terlalu gilakan kuasa hingga sanggup mempertikaikan keputusan Raja-Raja Melayu.

Sebaliknya kata beliau, Muhyiddin perlu mencontohi DAP yang lebih mementingkan kepentingan negara daripada kepentingan parti dan individu, bergerak ke hadapan demi menjayakan Kerajaan Perpaduan dicadangkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Muhyiddin perlu menghormati segala pelantikan ini. Tindakan Muhyiddin dan sekutunya yang cuba mempertikaikan segala pelantikan ini adalah gambaran wajah sebenar Muhyiddin dan sekutunya yang tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.

“Muhyiddin dan sekutu perlu belajar menjadi pembangkang berwibawa dan bukannya merengek serta meroyan tidak dapat menerima hakikat beliau gagal menjadi Perdana Menteri dan gagal membentuk kerajaan. Belajarlah menghormati proses dan keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan, kerajaan terbentuk hari ini bukan kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya Kerajaan Perpaduan hasil gabungan kerjasama parti terbesar dan parti kecil lain yang memenangi pilihan raya, untuk membina dan mentadbir negara lebih baik daripada kerajaan terdahulu.

“Muhyiddin lupa kuasa perlantikan Perdana Menteri ialah atas kuasa baginda Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Begitu pelantikan Kabinet. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah mempersembahkan senarai semua ahli jemaah Kabinet Kerajaan Perpaduan bagi mendapat perkenan baginda. Selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, barulah diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Katanya, pelantikan jawatan Perdana Menteri juga diperkenan Yang di-Pertuan Agong, selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

“Muhyiddin seolah-olah terus meroyan apabila gagal dilantik sebagai Perdana Menteri dan tidak sampai 24 jam Kabinet angkat sumpah Muhyiddin menuduh pembentukan kerajaan dan Kabinet tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat yang tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, kritikan Muhyiddin bahawa tindakan Perdana Menteri yang memegang jawatan Menteri Kewangan tidak melihat keperluan semasa, yang memerlukan Anwar yang dikenali mempunyai rekod baik dalam menguruskan ekonomi negara.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply