Masyarakat Rohingya Jadi ‘Tauke’, Kawal Padi Dan Beras Negara. | KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional hari ini menyuarakan kebimbangan masyarakat Rohingya menjadi “tauke” padi dan beras di negara ini.

Masyarakat Rohingya Jadi 'Tauke', Kawal Padi Dan Beras Negara.

Salim Sharif (BN-Jempol) berkata, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian setakat ini mengesan lebih 200 orang Rohingya mengerjakan sawah padi di seluruh negara.

“Orang Rohingya ini menjadi tauke padi. Dalam beberapa tahun lagi, mereka mungkin mengawal lebih banyak sawah padi,” katanya ketika membahas Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Salim berkata, keadaan itu turut berlaku di kawasannya kerana warga tempatan tidak mahu mengusahakan sawah padi, sebaliknya lebih rela membiarkan orang Rohingya melakukannya.

Beliau menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melaksanakan langkah bagi menghalang warga asing memonopoli sektor padi dan beras negara.

Sementara itu, Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) menyentuh harga sayur-sayuran ketika membahas peruntukan untuk kementerian itu untuk 2022.

Katanya, persatuan pengguna dan orang awam mengadu kenaikan harga sayur sehingga 200%.

Sebagai contoh, beliau berkata, harga kubis bunga meningkat daripada RM7 kepada RM14 sekilogram, manakala sayur lain yang turut terjejas termasuk brokoli, kubis, cili hijau serta merah.

Katanya, harga ayam juga meningkat daripada RM8 kepada RM10 sekilogram.

Beliau meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memaklumkan langkah yang diambil untuk mengekang kenaikan harga berkenaan.

Kementerian itu dijangka memberikan jawapan ketika penggulungan RUU Perbekalan pada peringkat jawatankuasa.

Sumber: FMT

Share.

Leave A Reply