Mayat Bayi Perempuan Ditemui Di Batas Sawah Padi Dalam Keadaan Membengkak & Membusuk | Mayat bayi perempuan ditemukan dalam keadaan membengkak dan membusuk di batas sawah padi berhampiran Lorong Taman Serai Muda ke Kampung Padri di sini, 22 November lepas.
Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mazuki Mat berkata mayat bayi yang tidak berbaju dan dianggarkan berusia sembilan bulan itu, ditemukan seorang pesawah lelaki yang juga pemilik tanah tersebut pada jam 8.30 pagi.
Katanya polis tidak menemukan sebarang dokumen atau kain balutan di lokasi kejadian dan organ dalaman mayat itu didapati telah hancur.
“Setakat ini punca kematian bayi itu tidak dapat dipastikan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mazuki berkata kali terakhir pemilik tanah itu melalui kawasan berkenaan ialah sekitar jam 4.30 petang kelmarin untuk menjalankan kerja-kerja membaja, namun tidak terlihat mayat tersebut.
Mayat itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran seorang bayi dan membuang mayat.
Sumber : Astro Awani