KOTA KINABALU: Mayat bayi masih belum dikenal pasti jantina ditemui terapung di laut di perkampungan atas air, Kampung Tanjung Aru Lama, di sini, petang kelmarin.
Bayi malang itu ditemukan jam 6.30 petang oleh penduduk kampung yang melalui jambatan kayu di kampung berkenaan sebelum bertindak menghubungi polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris, berkata sebaik menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi terbabit, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian untuk siasatan.
Katanya, bayi itu ditemui terapung tanpa pakaian di laut dekat jambatan di perkampungan atas air berkenaan.
“Siasatan awal mendapati bayi itu dipercayai baru dilahirkan namun setakat ini belum ada apa-apa maklumat lanjut mengenai kejadian itu.
“Bayi terbabit juga disyaki dibuang ke laut selepas dilahirkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kalsom berkata, mayat bayi dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.
“Setakat ini jantina bayi belum dapat dipastikan dan akan diketahui selepas bedah siasat,” katanya.
Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengesan suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta supaya menghubungi Ibu Pejabat Daerah Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.
Sumber : BH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Mayat Lelaki Ditemui Di Kawasan Semak Dlm Keadaan Berlumuran Darah
BUKIT MERTAJAM – Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan berlumuran darah dipercayai ditikam dengan senjata tajam di kawasan semak berhampiran Jalan Son Ban Kheng, di sini pada petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, lelaki berusia 70-an itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan luka di bahagian badan oleh orang awam kira-kira jam 7.45 malam sebelum melaporkan penemuan itu kepada pihak polis.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, pihaknya telah menahan dua lelaki berusia 50-an dan 60-an yang disyaki terlibat dengan kes terbabit.
“Kedua-dua suspek ditahan pada Rabu di Hospital Bukit Mertajam dan Klinik Kesihatan Berapit di sini
“Kedua-dua lelaki itu telah mendapatkan rawatan akibat mengalami kecederaan disyaki berkaitan dengan kejadian,” katanya menerusi kenyataan di sini pada Rabu.
Cheng San berkata, semakan yang dibuat mendapati salah seorang suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk tujuh kes narkotik.
Katanya, punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan mangsa hingga berlakunya pergaduhan yang mengakibat kematian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati,” katanya.
Sumber : KMN