Seorang wanita warga Kanada ditemui meninggal dunia dengan keadaan mayat sudah busuk di sebuah rumah di Synergy Square, Jalan Matang di sini.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata penemuan mayat warga emas itu dilaporkan oleh seorang wanita tempatan yang memberitahu terhidu bau busuk di tingkat bawah kediaman sewanya di Blok G, Synergy Square kira-kira jam 4 petang semalam.

Susulan itu, katanya anggota dari Balai Polis Batu Kawa digerakkan ke lokasi dan mereka terpaksa mengumpil pintu hadapan rumah wanita terbabit dengan besi kerana berkunci dari dalam.

“Sebaik saja pintu hadapan rumah berjaya dibuka, terdapat timbunan kotak tisu dalam rumah berkenaan.

“Mayat simati dijumpai terbaring terlentang di tepi timbunan kotak tisu yang berselerak.

“Keadaan simati ketika dijumpai berulat dan bahagian muka dalam keadaan tidak sempurna,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Abang Zainal berkata berdasarkan maklumat daripada pengadu di lokasi kejadian, wanita itu tinggal berseorangan dan dipercayai tinggal di rumah berkenaan lebih kurang 10 tahun.

Katanya turut dijumpai pasport wanita itu, yang dikenali sebagai Tan Onn Har berusia 82 tahun dengan taraf kewarganegaraan dari Kanada.

“Pasukan perubatan daripada Hospital Umum Sarawak yang hadir ke lokasi kejadian mengesahkan kematian simati dan tiada sebarang tanda-tanda jenayah mahupun penemuan objek tajam atau tumpul di tempat kejadian iaitu di atas katil wanita itu dijumpai mati,” katanya.

Abang Zainal menambah mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Justeru, katanya usaha mengesan ahli keluarga mangsa sedang dilakukan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan polis.

Sumber : HM

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

 

Bekas Imam Terjatuh Dlm Kolam Udang, Mayat Telah Dijumpai

SETIU – Mayat bekas imam yang terjatuh ke dalam kolam udang di Kampung Fikri di sini semalam telah dijumpai pasukan mencari dan menyelamat sebentar tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mayat Zakaria Mat Nong, 72, yang berasal dari Kampung Beris Tok Ku di sini dijumpai pada pukul 10.54 pagi.

Beliau berkata, mayat lelaki warga emas itu ditemui kira-kira 1.7 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

“Mayat mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras ke Sungai Fikri yang bersambung dengan kolam udang terbabit.

“Pasukan mencari dan menyelamat telah menjumpai mayat mangsa tersangkut pada rimbunan pokok nipah yang terdapat di tebing sungai berkenaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di sini hari ini.

Afandi berkata, mayat Zakaria telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Setiu di sini untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Zakaria yang mengalami masalah pendengaran dikhuatiri terjatuh ke dalam kolam udang terbabit ketika sedang menjala ikan pada pukul 7 malam.

Insiden lelaki warga emas terbabit tergelincir dari tebing kolam udang terbabit disaksikan beberapa penduduk kampung sebelum memaklumkannya kepada pihak berkuasa.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply