Kasih seorang nenek tidak bertepi apabila tabah menjaga dan menguruskan cucu sulung perempuan yang terlantar akibat penyakit saraf otak sejak lebih sedekad lalu.

Rohana Ariffin, 57, berkata, biarpun keadaan kesihatannya tidak begitu baik selepas menjalani pembedahan kedua-dua lutut, namun selagi bernyawa, dia tidak sesekali akan membiarkan cucunya, Nur Aleeya Ammar, 12, dijaga oleh orang lain.

“Saya tak sanggup biarkan cucu dijaga orang lain selepas apa yang berlaku sebelum ini. Anak istimewa itu memerlukan perhatian khusus.

“Aleeya tidak boleh berdiri atau duduk kerana tubuhnya lembik. Dia kerap mengalami sawan tarik hingga terpaksa diikat untuk mengelak kakinya mengeras dan bengkok.

“Dia perlu dibantu menguruskan diri termasuk makan, mandi serta membuang air yang menggunakan lampin pakai buang.

“Oleh sebab badannya semakin membesar, ada kala saya terpaksa memerah kudrat untuk mengangkatnya ke bilik air,” katanya ketika ditemui.

Rohana berkata, dia sukarela mengambil tanggungjawab menjaga kerana sayang, apatah lagi ibu bapa cucunya itu kini bekerja di Kajang, Selangor. Mereka pula menanggung empat anak lain berusia antara sebulan hingga 10 tahun.

Menurutnya, Nur Aleeya pernah dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru akibat tidak sedarkan diri secara tiba-tiba di rumah pengasuh pada usia empat bulan.

“Mulanya Aleeya dirawat di Hospital Kluang sebelum dirujuk ke HSA. Sembilan hari Aleeya koma dan doktor pakar kanak-kanak yang merawatnya menyatakan ia berpunca gegaran pada kepala hingga berlaku pendarahan dalam otak.

“Selepas tiga minggu dirawat, akhirnya Aleeya dibenarkan keluar dan doktor beritahu paru-parunya turut dijangkiti kuman selain hilang penglihatan.

“Saya dan suami, Latip Baba, 62, kemudian membantu menjaganya sehingga kini selepas ibu bapanya bertukar tempat kerja dari Penjara Sungai Udang ke Penjara Kajang,” katanya.

Rohana berkata, cucunya itu hanya makan makanan lembut seperti bubur oat, nestum dan minum susu.

“Aleeya makan sedikit sahaja, memang kena sabar melayannya kerana ada kala kena pujuk sampai 45 minit. Kadang terpaksa pegang mulutnya untuk suap makanan. Jadi, hanya saya faham cara untuk menguruskannya.

“Ketika ini dia menjalani rawatan susulan empat kali setahun di Hospital Melaka. Ada juga guru PDK (Pemulihan Dalam Komuniti) membuat latihan fisioterapi kepadanya di rumah.

“Kami bercadang membawa dia menjalani rawatan mata di Kuala Lumpur, namun kosnya agak mahal sekitar RM6,000 untuk sekali rawatan,” katanya.

Sementara itu, kesukaran dihadapi Rohana mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang menyumbang katil hospital untuk kegunaan Nur Aleeya selepas kes terbabit dirujuk Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) kepadanya.

Sumber: Harian Metro

 

Share.

Leave A Reply