Operator Kilang Cedera Akibat Dilibas Rakan Sekerja Guna Parang | Sejak kebelakangan ini, banyak kejadian yang tidak diingini berlaku sehingga membawa kepada kecederaan mahupun meragut nyawa. Perkara seperti ini amatlah membimbangkan masyarakat yang berada di sekeliling.
Klang: Terbaru seorang operator kilang mengalami kecederaan di tangan selepas dilibas dengan parang oleh rakan sekerja dalam kejadian di sebuah kilang racun serangga di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata dalam kejadian pada jam 7 petang itu, suspek lelaki tempatan berusia 25 tahun dipercayai berselisih faham dengan mangsa juga lelaki tempatan berusia 34 tahun.
Menurut beliau, suspek dipercayai tidak berpuas hati kerana mangsa kerap menukar giliran kerja dan difahamkan suspek baru sebulan bekerja di kilang berkenaan. Beliau mengulas lanjut, ketika berlaku perselisihan faham, suspek dikatakan mengajak mangsa untuk bergaduh dan secara tiba-tiba mengeluarkan parang dari pinggangnya seterusnya melibas ke arah suspek.
“Mangsa kemudian bertindak menahan libasan itu dengan menggunakan tangan kanan dan mengalami kecederaan.
“Susulan kejadian itu, suspek berjaya ditahan di rumahnya di Kampung Perigi Nenas sekitar jam 12 tengah hari tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau membabitkan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Katanya, suspek turut mengakui terbabit dalam kes itu dan siasatan lanjut akan diteruskan selepas permohonan reman hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sumber: Berita Harian