Terlihat Pakcik Tua Sudah Meninggal Dunia di Kebun. | Secara alamiah dan hakikatnya orang yang sudah meninggal dunia, tidak akan berada di dunia ini lagi. Apabila terputusnya roh dan jasad, maka orang tersebut akan berada di alam barzakh dan terputus jugalah segala amalannya.

Kebun

Kecuali 3 perkara yang ada disebutkan dalam hadith Rasulullah SAW iaitu amal jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh atau solehah yang mendoakan orang tuanya.

KISAH BERTEMU DENGAN ORANG MENINGGAL DUNIA

Kisah di bawah ini menceritakan tentang seorang wanita yang pernah berhadapan dengan situasi bertemu dengan orang yang sudah meninggal dunia.

Saya merasa terpanggil untuk menceritakan tentang pengalaman yang saya anggap seram juga. Entahlah pada orang lain seram atau tidak. Saya mengalami kisah ini pada tahun 1989 di kampung bapa saya iaitu di Batu Pahat, Johor.

Ketika itu arwah atok dan nenek saya masih ada. Kampung saya ini, sepanjang perjalanan ke rumah atok saya, jalannya kiri dan kanan ada ladang kelapa sawit dan pokok getah.

Rumah penduduk kampung semuanya jauh berselang dengan ladang kelapa sawit dan pokok-pokok getah. Agak susah untuk melihat rumah yang berdekatan atau bersebelahan antara satu sama lain.

JARAK RUMAH KE JALAN RAYA 2KM

Untuk sampai ke rumah atok saya, jarak dari jalanraya utama lebih kurang 2 kilometer. Berdekatan dengan rumah atok saya cuma ada tiga buah rumah jiran, itu pun dikelilingi oleh pokok-pokok besar. Jarak antara sebuah rumah ke rumah yang lain adalah lebih kurang 300 meter.

Kisah ini terjadi ketika saya baru habis SPM dan dihantar oleh ibu bapa saya ke rumah atok dan nenek untuk bercuti sambil menemani mereka. Pada masa itu makcik saya dan anak-anaknya pun ada tinggal bersama atok dan nenek saya.

Ibu dan bapa saya berpesan supaya saya tinggal untuk beberapa minggu, supaya atok dan nenek saya gembira sebab saya cucu kesayangan mereka. Setiap petang saya suka keluar bersiar-siar melihat pemandangan di sepanjang jalan kampung. Saya akan keluar bersama sepupu saya yang lain.

Sebelum Maghrib saya akan balik ke rumah sebab atok saya sudah pesan supaya balik awal iaitu sebelum masuk waktu Maghrib kerana menurutnya bahaya. Sebagai anak gadis sudah pasti saya akan pulang awal.

3 HARI SIAR-SIAR KELILING KAMPUNG

Tiga hari berturut-turut saya bersiar-siar keliling kampung namun tidak ada apa-apa pun yang berlaku. Pada hari keempat, saya tidak dapat keluar bersiar kerana makcik saya mengajak saya pergi ke kedai di luar kampung. Kedai di kampung ini jauh, di jalan utama. Jadi saya dan makcik saya pun keluar ke kedai dengan menaiki motor.

Pada awalnya kami memang nak balik awal sebelum Maghrib, tapi ketika balik dari kedai makcik saya terpaksa singgah di rumah ibu saudaranya yang juga nenek saudara saya yang tinggal tidak jauh dari kedai yang kami pergi.

Oleh kerana terlalu asyik berbual, makcik saya tidak perasan yang waktu sudah pun lewat. Dah nak masuk waktu Maghrib. Saya terus cuit makcik saya untuk mengajaknya balik. Makcik saya pun minta izin untuk pulang ke rumah atok.

Saya meminta izin makcik saya, saya yang nak bawa motor tu dan menyuruh makcik saya bonceng di belakang. Makcik saya mengiakan saja. Masa itu saya bawa motor dengan laju sebab hari sudah lewat.

Hari semakin kelam. Ketika hampir sampai di rumah atok, kami terpaksa melalui satu kawasan ladang kelapa sawit milik seorang Pak Haji. Namanya biarlah saya rahsiakan, cuma gelarkan “Pak Haji” saja.

TERNAMPAK LELAKI TUA DALAM LADANG

Dari jauh saya ada ternampak seorang lelaki tua dalam lingkungan umur 60-an tahun, kalau tidak silap sayalah. Lelaki itu sedang berjalan masuk ke ladang kelapa sawit di sebelah kiri jalan yang kami lalui itu.

Saya masih teringat apa yang dia pakai ketika itu, baju Pagoda putih, kain pelikat lusuh dan tali pinggang hijau yang selalu orang-orang tua pakai. Ketika saya dan makcik saya sampai di kawasan yang Pak Haji tadi masuk, saya dan makcik saya tengok ke arah itu tetapi kami tidak nampak apa-apa pun.

Namun saya tidak kisah kerana pada fikiran saya mungkin Pak Haji itu berjalan cepat dan kemungkinan dia nak cepat ke surau. Terus saya menunggang motor hingga ke rumah atok saya.kebun

Sampai di rumah, atok membebel disebabkan kami lambat sampai dan makcik pun ceritalah apa sebabnya. Lepas tu makcik saya terdiam. Selepas sepuluh minit berlalu, makcik saya bertanya pada saya, adakah saya ternampak orang yang masuk ke dalam kebun kelapa sawit tadi.

Saya pun menjawab, “Ada tadi saya nampak seorang lelaki tua berjalan masuk ke kebun kelapa sawit” Makcik saya terkejut! Perbuatan makcik saya itu membuatkan atok saya bertanya kenapa. Begitu juga saya. Terus makcik saya menjawab Pak Haji balik tengok kebun.

ATOK TERSENYUM

Atok saya tersenyum, saya pula tertanya-tanya. Tapi nenek saya pula yang membebel. Saya bertanya nenek kenapa. Nenek saya pun menjawab Pak Haji itu dah meninggal dunia enam bulan yang lalu.

Ketika itu juga merasa seram sejuk dan bulu roma saya semuanya berdiri, lalu saya terus masuk ke dalam rumah, tutup semua tingkap dan pintu. Sejak hari itu saya tak keluar berjalan-jalan lagi.

Saya telefon ibu bapa saya dan meminta mereka untuk balik kampung dan ambil saya balik. Tak sampai seminggu terus saya balik kerana terlampau takut, dan asyik terbayang-bayang Pak Haji tersebut.

Kini kampung saya dah melalui banyak perubahan. Sudah semakin ramai penduduk dan sudah ada bermacam-macam kemudahan. Alhamdulillah sekarang saya sudah tidak merasa takut lagi.

Berkemungkinan apa yang saya temui semasa berumur belasan tahun adalah qarin ataupun jelmaan makhluk halus yang menyerupai wajah seseorang. Kita perlu yakin bahawa orang yang sudah meninggal dunia, tidak akan boleh kembali ke dunia ini. Sebagai seorang manusia, akal kita terhad untuk memikirkan tentang alam ghaib yang penuh dengan misteri.

Sumber : Kisah Seram

Share.

Leave A Reply