Pasangan Jarak Jauh | Aku Bunga, 30 tahun, seorang penjawat awam, to be exact, seorang jururawat. Sudah berkahwin selama 5 tahun, suami berumur 36 tahun, bekerja di sektor swasta.

Kami duduk berjauhan, walaupun masih satu negeri, tetapi berlainan
daerah. Aku di daerah A, manakala suami di Daerah B. Jarak Daerah A dan
B lebih kurang 500 KM, perjalanan pula mengambil masa 8 jam atau lebih.

Sepanjang 5 tahun perkahwinan dan hidup berjauhan ini, kami masih belum
dikurniakan anak. Jadi, kalau balik ke kampung, confirm akan disoal,
dibanding-bandingkan dengan pasangan-pasangan yang baru berkahwin.
Takpelah, sis redha.

Balik kepada isu hidup suami isteri yang berjauhan, memang banyak dugaan
dan ujian. Isu pertama, isu permohonan pindah.

Aku telah memohon pindah ke hospital di Daerah A, tapi satu permohonan
pun belum diluluskan. Dulu, pihak atasan cakap, kalau alasan ikut suami,
senang dapat pindah.

Nampaknya, sekarang alasan ikut suami sudah tidak dipandang, hinggakan
jika berjumpa penyelia, penyelia akan mengatakan, kenapa suami tak
pindah ke Daerah B?

Aku susah nak bagi jawapan, sebab rasanya, isteri inilah yang sepatutnya
mengikut suami. Apatah lagi, keluargaku dan keluarga suami juga berada
di daerah B, mengapa perlu suami yang berpindah ke daerah A?

Lagipun, suamiku bekerja di sektor swasta, umum pun tahu, bukan senang
untuk mencari pekerjaan di sektor swasta dalam keadaan ekonomi begini.

Ditambah lagi, dengan pandemik Covid-19 ini, memang peluang untuk
mendapat kerja lain itu, bertambah tipis. Jadi, adakah peluangku untuk
dapat berpindah dekat dengan suamiku? Doakan aku.

Isu kedua, aku seorang jururawat, sepanjang 5 tahun aku di daerah A,
memang setiap 2 minggu aku akan balik ke daerah B untuk berjumpa suami
dan balik melawat keluarga.

Begitu juga suamiku, jika aku tidak balik, dia yang akan datang ke
tempatku. Rutin begini, memang memenatkan, tapi kami tetap bersyukur
sebab masih boleh berjumpa di hujung minggu.

Tetapi, semenjak pandemik Covid-19 melanda negara, aku bertugas sebagai
barisan hadapan, dimana waktu kerjaku berubah, hujung minggu akan tetap
turun bekerja, melakukan saringan di kaunter saringan 7 hari seminggu.

Semasa di awal pandemik, aku memang tidak dapat balik berjumpa suamiku
selama 4 bulan, di sebabkan PKP dan tuntutan tugas.

Suamiku juga, tidak dapat datang ke tempatku, disebabkan company
tempatnya bekerja kekurangan staff dan merupakan salah satu company yang
masih beroperasi ketika PKP (essntial service).

Sekarang, suami lah yang rajin datang ke tempatku, sebab aku memang tak
dapat bercuti ketika hujung minggu. Hendak bercuti, terpaksa cari
pengganti. Tapi, siapalah nak mengganti jika bertugas di bahagian Covid-19?

Semua pun menolak, alasan sebab takut, alasan sebab ada anak di rumah,
alasan bermacam-macam. Tak apa, memang beginilah nasib kita yang berada
di rantau orang.

Isu ketiga, emosi kami duduk berjauhan. Aku mengaku, aku sangat hebat
menutup masalahku, menutup segala perasaan sedihku di hadapan rakan kerja.

Aku mampu ketawa dan tersenyum jika di tempat kerja. Kawan sekerja akan
mengatakan, aku seorang yang happy dan nampak tiada masalah. Tapi,
apabila duduk di kereta, berseorangan, sampai ke rumah, berseorangan,
aku akan mula merasa sedih.

Bermacam-macam perkara akan aku fikirkan. Aku akan mempersoalkan diriku,
bilakah akan dapat berpindah dekat dengan suami.

Kadang-kadang, suami, ibu atau adik perempuanku yang akan mendengar
semua luahan perasaanku. Menangis sendiri di dalam kereta, ketika di
rumah, itu memang perkara biasa.

Suami jugalah yang rajin melayan emosi isterinya yang macam
‘roller-coaster’ ni. Doakan aku mampu kawal emosiku.

Isu keempat, anak. Isu ini paling sensitif buat aku dan suamiku. Kami
sudah 5 tahun berkahwin, tapi aku masih belum mengandung. Mertuaku dan
orang sekeliling memang sentiasa mempersoalkan tentang anak, tapi,
apalah dayaku, kan?

Bukan kami tak berusaha pun nak dapat anak, ingat senang nak buat anak?
Harini buat, esok dah jadi?

Doa baik-baik, sudahlah. Aku tak minta pun duit dan tenaga sesiapa dalam
usaha nak dapat anak ni, tapi, tak perlu persoalkan kenapa kami masih
belum ada anak. Soalan tu seperti mempersoalkan takdir Allah, tahu tak?

Membandingkan aku dengan pasangan yang baru berkahwin, terus dapat anak.
Jadi kau nak aku terus buat anak depan kau dan dan tu juga, baru puas
hati ke? Aku tak faham kenapa orang nak sibuk soal pasal anak,
bandingkan pasal anak ni.

Kau tak berada di tempat kami, kau takkan faham keadaan kami. Rezeki
anak ni, bukan kami yang tentukan. Semua tu Allah yang tentukan.

Kami PJJ, lagilah susah kami nak rancang untuk dapat anak.
Kadang-kadang, masa suami datang, bendera merah pula. Kadang tu, waktu
tak subur pula. Doakan jelah yang baik-baik, Allah akan bagi di masa
yang terbaik, kami ni merancang je.

Aku selalu berdoa agar semua ni cepat berakhir, sering mengimpikan
bangun pagi, nampak suami di sebelah, then bersiap untuk kerja.

Tapi, aku tetap percaya satu perkara, Allah tahu kemampuan hambaNya,
merintih, meminta dan merayulah denganNya, pasti kita tenang, Allah itu
Maha mendengar dan Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan penyayang.

Mungkin pasangan PJJ yang lain, lain pula dugaan mereka.

Mungkin para pembaca boleh bagi tips untuk cepat dapat pindah? (selain
suka sama suka, sebab dah cari, memang tak jumpa) mungkin boleh bagi
tips untuk kawal emosi saya, sebab saya bukan seorang yang suka luahkan
masalah saya dengan kawan, trust issues maybe.

Panjang pula confession ni. Terima kasih admin, sebab approved
confession panjang berjela ni, terima kasih juga yang membaca. Maaf jika
ayat tunggang terbalik, aku bukan seorang yang puitis, seorang jururawat je.

Pesanan ikhlas dari seorang jururawat, musim pandemik Covid-19 ni,
ikutlah SOP di mana sahaja anda berada. Sentiasa pakai penutup muka,
jaga kebersihan, jangan sentuh muka, hidung, mulut dan mata dengan
tangan yang tak bercuci, jaga jarak anda.

Semoga pandemik ini cepat berakhir, kita boleh hentikan rantaian
Covid-19, asalkan kita patuh SOP, masa ni lah kita boleh nampak
kerjasama dari rakyat Malaysia.

– Puan Misi, Bunga (Bukan nama sebenar)

 

Kredit: IIUM Confessions

 

Share.

Leave A Reply