Pegawai Maritim Terpedaya, Hilang RM370,000 Gara-gara Bimbang Dipenjara

| July 6, 2021 | 0 Comments

Pegawai Maritim Terpedaya, Hilang RM370,000 Gara-gara Bimbang Dipenjara | Kelicikan penipuan kewangan atau scammer dalam talian semakin menjadi-jadi di negara ini. Walaupun banyak tangkapan dibuat, kes penipuan begini masih lagi berlaku dengan yang ditanggung mangsa ada kalanya mencecah jumlah simpanan sepanjang hayat mereka untuk persaraan.

Pegawai Maritim Terpedaya, Hilang RM370,000 Gara-gara Bimbang Dipenjara

Baru-baru ini, seorang penjawat awam telah terpedaya dengan penipuan wang dalam talian. Gara-gara bimbang dipenjara atas tuduhan pengubahan wang haram, seorang pegawai Maritim hilang keseluruhan wang simpanannya sebanyak RM370,000, pertengahan bulan lalu.

Akibat takut, penjawat awam yang berusia 33 tahun itu bertindak membuat pinjaman bank untuk membuat segala pembayaran berkaitan kes tersebut sekali gus terpaksa menanggung bebanan hutang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula apabila mangsa dihubungi ‘seorang pegawai’ daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mendakwa terdapat sebuah syarikat didaftarkan atas namanya tidak membayar cukai.

Menurut beliau, suspek turut memaklumkan syarikat itu terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram berdasarkan beberapa semakan.

Katanya, panggilan tersebut disambungkan kepada seorang lagi lelaki kononnya pegawai polis bernama Inspektor Azman yang bertugas di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang.  Kemudian, suspek mengarahkan mangsa memasukkan sejumlah wang bagi menyelesaikan kes jenayah yang dihadapinya tanpa perlu melakukan tangkapan.

“Mangsa bersetuju dan memasukkan wang simpanannya berjumlah RM120,000 ke dalam akaun suspek bermula pada 17 Jun hingga 21 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Modus operandi digunakan suspek adalah dengan menyamar sebagai Pegawai LHDN dan polis serta mendorong mangsa membayar wang untuk mengelakkan daripada ditangkap.

Mohd. Wazir berkata, masalah menjadi lebih rumit lagi apabila suspek mengarahkan mangsa membuat pinjaman bank selepas wang simpanannya habis.

“Mangsa menuruti segala permintaan suspek dan membuat pinjaman berjumlah RM250,000 daripada dua buah bank dan memuat turun aplikasi myBNM serta mengisi segala butiran bank dalam aplikasi tersebut seperti yang arah suspek.

“30 Jun lalu, mangsa mendapati duit pinjaman dalam akaun banknya sudah tiada. Semakan transaksi mendapati wang terbabit telah dipindahkan beberapa akaun bank yang lain tanpa pengesahannya.

“Selasa lalu, mangsa menerima panggilan daripada sebuah bank memaklumkan terdapat transaksi mencurigakan terhadap akaun bank miliknya dan dinasihatkan membuat laporan polis,” katanya.

Mohd. Wazir berkata, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Orang ramai dinasihatkan menghubungi polis jika ada panggilan meragukan bagi mengelak kes penipuan seperti ini,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Tags: , , , ,

Category: JENAYAH, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *