Pekerja Jumpa Anak Buaya Ketika Cuci Longkang Di Universiti. | KUALA NERUS – Kakitangan sebuah universiti di sini terkejut apabila menemukan seekor anak buaya ketika membersihkan longkang di tepi bangunan universiti terbabit.
Pembantu Am, Open University Malaysia (OUM) Terengganu, Ahmad Ismail Salleh, 33 berkata, reptilia berukuran 0.3 meter itu ditemukan berada di lokasi itu kira-kira jam 11 pagi pada Jumaat lalu.
Katanya, dia bersama Penolong Pegawai OUM, Ahmad Solahuddin Abdullah, 35 sedang mencuci longkang di kawasan itu sebelum ternampak objek yang bergerak-gerak di dalam longkang di tepi bangunan universiti.
“Pada mulanya kami menyangka anak biawak atau mainan budak yang bentuknya seakan buaya namun selepas tolak objek itu menggunakan ranting kayu, barulah kami kenal pasti ia anak buaya,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurut Ahmad Ismail, anak buaya itu berjaya ditangkap menggunakan ranting sebelum dilepaskan ke kawasan sungai di belakang universiti itu pada hari yang sama.
Gambar penemuan anak buaya yang dimuat naik menerusi status di laman sosial Facebook OUM pada Jumaat lalu tular di media sosial.
Menurut status itu, timbul persoalan bagaimana anak buaya tersebut boleh berada di situ itu dan dikhuatiri terdapat ibu reptilia itu di kawasan berhampiran.
Pada Jun tahun lalu, Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu memindahkan seekor buaya tular digelar Mamat setelah haiwan itu memasuki jerat yang dipasang di kawasan lombong tinggal di Tepoh, di sini.
Buaya tembaga berukuran kira-kira 3.7 meter itu ditangkap 17 kakitangan Perhilitan dan dipindahkan ke Paya Indah Wetland (PIW) di Dengkil, Selangor.