Kerajaan dijangka mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) berhubung pandemik Covid-19.

Pemakaian Pelitup Muka Tidak Lagi Diwajibkan? Ini Jawapan Khairy Jamaluddin

Difahamkan ia berkaitan dengan arahan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang diwajibkan sejak 1 Ogos 2020.

Spekulasi itu dikuatkan lagi apabila Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin sebelum sidang akhbar pada Jumaat memberi bayangan bahawa pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan tetapi adalah pilihan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika ditemui pada majlis pelancaran program mQUIT masjid di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin meminta pihak media menunggu pengumuman minggu hadapan.

Jawab beliau dengan ringkas, tunggu minggu depan.

Sementara itu dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Projek Institut Endokrin di Hospital Putrajaya, Khairy berkata, pengurusan pandemik menunjukkan kejayaan apabila kes positif Covid-19 dilihat semakin terkawal dan kemasukan pesakit ke hospital menurun.

Menurutnya, kadar kematian Covid-19 terus menurun dan kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi (ICU) juga menurun.

Jelasnya, faktor ini telah meyakinkan kerajaan untuk memberi segala kelonggaran termasuklah sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau ingin mengingatkan semua bahawa kita masih berada di dalam fasa peralihan dan perlu sentiasa mematuhi segala SOP dan langkah-langkah kesihatan awam sepertimana kita jalani selama dua tahun.

Beliau juga turut mengingatkan semua pihak agar tidak leka dan mengambil iktibar daripada negara lain.

Jelasnya, beberapa negara anggap bahawa mereka sudah mencapai kemenangan dan segala sekatan serta langkah pencegahan di buang. Akhirnya mereka berdepan gelombang demi gelombang jangkitan baharu.

Katanyak, biarlah kita lambat sedikit asalkan kita selamat dan janganlah kita mengulangi kesilapan dari negara lain.

Isnin lalu, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia akan mengumumkan sesuatu berkaitan SOP pada minggu hadapan.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply