Politik Pejabat Dan Perasaan Hasad Dengki

| August 9, 2020 | 0 Comments

Politik Pejabat Dan Perasaan Hasad Dengki | Nama saya Jasmine. Sudah tentulah bukan nama sebenar. Saya bekerja di sektor Kerajaan sejak 21 tahun yang lalu. Sudah berkeluarga, dengan suami yang penyayang dan anak-anak yang sedang menginjak dewasa.

Saya ingin menceritakan pengalaman saya sebagai seorang penjawat awam.
Untuk makluman semua, saya pernah bekerja di agensi yang sama di
peringkat negeri sebelum diarahkan bertukar ke peringkat Persekutuan.

Selepas beberapa tahun berkhidmat, dek kerana keperluan pertukaran
seorang rakan sejawat dari negeri bagi mengisi jawatan di peringkat
Persekutuan, saya ditukarkan ke agensi Kerajaan Persekutuan yang lain.

Ya, saya ditukarkan untuk memberi ruang kepada pegawai berkenaan bekerja
di pejabat saya. Sebabnya, saya seorang yang sangat “industrious” dan
vokal, dan dilihat sebagai seorang pencabar walaupun saya masih di
jawatan rendah.

Di agensi ini, saya hanya diarahkan untuk melaksanakan sesuatu tugasan
tanpa sebarang tunjuk ajar dari ketua saya sendiri. Semuanya saya
lakukan tanpa komplen. Tapi saya masih dilihat sebagai seorang pencabar
kerana hasil kerja saya yang tip top pada ketika itu.

Semasa saya di agensi baharu, alhamdulillah saya mendapat seorang ketua
yang sangat memahami. Dengan beliau, saya banyak belajar apa yang saya
tidak pelajari selama di agensi lama.

Semasa di agensi inilah, saya diberi peluang untuk menyambung pelajaran
di luar negeri dan diberikan anugerah kerana perkhidmatan saya yang
cemerlang.

Namun, selepas beberapa tahun, saya telah diarahkan untuk bertukar
semula ke agensi lama kerana dinaikkan pangkat.

Sekembalinya saya ke agensi lama, saya menjawat jawatan yang lebih
senior tetapi tiada anak buah untuk bekerja bersama-sama dengan saya,

Walaupun ketua saya adalah ketua yang dahulu dan sepatutnya ada anak
buah yang bekerja dengan saya. Saya dibiarkan bekerja seorang diri dan
diberikan tugasan-tugasan yang sukar dan mencabar.

Saya ditohmah sebagai seorang yang hanya boleh bekerja seorang diri dan
tidak tahu bekerja dengan orang (padahal saya tidak diberi peluang itu).

Semasa bekerja, saya perlu belajar sendiri dan berkomunikasi dengan
pihak luar supaya saya dapat melaksanakan tugasan-tugsan saya. Apabila
saya berjaya melaksanakan tugasan-tugasan yang diberikan, kedengaran
lagi macam-macam bunyi di belakang.

Kebetulan pada ketika itu, saya mendapat peluang untuk bekerja di luar
negara di bawah skim “cross fertilisation” (saya mohon sendiri dengan
niat untuk memajukan diri-sendiri).

Ketua saya tak sangka saya berjaya di dalam temuduga itu, kerana semasa
ketua saya tandatangan borang untuk kelulusan, beliau sempat lagi berkata,

“Confirm tak dapat ni…tapi tak apalah, saya sign ajelah ye!” Kelu
sebentar saya ketika itu. Menitis air mata semasa saya keluar dari biliknya…

Maka berkhidmatlah saya di luar negara selama beberapa tahun di samping
mengambil peluang melanjutkan pelajaran.

Apabila saya kembali ke agensi lama setelah tamat tempoh bekerja di luar
negara dan seterusnya dinaikkan pangkat,

Saya ditempatkan di bahagian yang langsung tidak kena-mengena dengan
kepakaran saya walaupun terdapat kekosongan jawatan yang sesuai dengan
kepakaran saya.

Apabila saya cuba menyumbang atau diberi peluang untuk menyumbang, saya
disekat dan diputuskan dari pelbagai sumber yang memerlukan kepakaran
saya. Ditikam dari belakang berkali-kali, sudah menjadi lumrah… sehingga
terasa kering air di mata.

Padahal di agensi saya berkhidmat, tiada kepakaran berkenaan. Kepakaran
saya dinafikan dan tidak dipandang kerana semata-mata saya berkhidmat di
bahagian yang berbeza.

Macam-macam tohmahan dilemparkan kepada saya kerana cuba menyumbang.
Amat rugi kerana saya telah beberapa tahun menimba pengalaman dan ilmu
di luar negara supaya saya dapat menyumbang apabila kembali ke Malaysia.

Kepakaran luar juga yang dipandang dengan kos yang mahal untuk sesuatu
perkhidmatan.

Di lubuk sanubari saya, saya tertanya-tanya… apakah dosa saya,
bertahun-tahun saya dianiayai secara halus. Dahulu, saya tak sedar
kerana saya fikir, niat kerana Allah SWT untuk menimba ilmu semasa
bekerja. Padahal dibuli dan kelayakan saya dinafikan.

Saya hairan, semasa di luar negara (di sebuah negara yang lebih maju),
kepakaran saya diiktiraf rakan-rakan sejawat dan mereka sangat
menghorm4ti profesionalisme masing-masing semasa bekerja.

Di Malaysia, terbalik pula dan kepakaran saya langsung tidak diiktiraf.
Malah, saya tidak pernah menerima sebarang anugerah kecemerlangan di
agensi ini. Alasan ketua saya, untuk memberi peluang kepada
mereka-mereka yang “kurang bernasib baik”.

Apa-apa pun, saya bersyukur dengan rezeki yang Allah SWT kurniakan
kepada saya. Di sebalik penindasan dan penganiayaan selama
bertahun-tahun, selagi ketua saya itu masih ada di agensi saya bekerja
sekarang, selagi itulah keupayaan dan potensi saya disekat.

Apabila selalu ditindas dan dianiayai secara halus, saya tidak ingin
anak-anak buah saya menghadapi keadaan sepertimana yang saya pernah hadapi.

Saya cuba mendidik anak-anak buah saya di dalam melaksanakan kerja
masing-masing, menjaga kebajikan mereka dan memberi peluang kepada
mereka untuk memajukan diri di dalam kerjaya mereka.

Saya tak mahu anak-anak buah saya rasa apa yang saya pernah rasa dan
sedang rasa pada ketika ini. Cukuplah saya seorang.

Apa-apa pun, saya maafkan perbuatan ketua saya itu kepada saya, tetapi
rasa hormat saya kepadanya sudah bertahun-tahun hilang. Respect is to be
earned, not deserved.

Ular menyusur akar takkan hilang bisanya,

– Jasmine (Bukan nama sebenar)

 

Kredit: IIUM Confessions

 

Tags: , , , ,

Category: DUNIA, POLITIK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *