Seorang Lelaki Maut Akibat Tertimbus Runtuhan Batu | Terdapat pelbagai kejadian yang tidak diingini berlaku ketika negara ini sedang dilanda wabak Covid-19 dan masih lagi berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ranau: Terbaru, seorang lelaki maut selepas ditimpa runtuhan batu yang berlaku di bahagian dapur rumahnya dalam kejadian di Kampung Pinousuk, Kundasang di sini pada Ahad.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Junaidi Gangka, 55, dikatakan sedang berehat bersama isterinya di dapur rumah berkenaan. Namun, isteri mangsa sempat melarikan diri bersama anak-anak mereka, manakala mangsa pula terperangkap dalam rumah terbabit.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, mangsa telah berjaya dikeluarkan dengan bantuan beberapa pekebun yang pada ketika itu berhampiran dengan lokasi kejadian.
Beliau mengulas lanjut, mangsa kemudiannya terus dibawa ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik sahaja tiba di hospital.
“Dalam kejadian itu, isteri mangsa dan dua anak mereka yang masing-masing berusia enam tahun dan 18 tahun yang turut berada di dalam rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi pada Isnin (hari ini).
Katanya lagi, siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
“Polis sudah melawat lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan memberi amaran kemungkinan kejadian runtuhan mungkin berulang.
“Penduduk dinasihatkan supaya berwaspada disebabkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian