Hanya kerana menegur membaca doa berbuka puasa dengan laju, seorang lelaki tergamak memukul bapanya dengan kerusi meja makan di kediaman mereka di Bandar Puncak Utama, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata, dalam kejadian jam 7.45 malam itu, mangsa berusia 63 tahun cedera di dahi dan tapak tangan kanan.

Menurutnya, punca kejadian disebabkan suspek berusia 34 tahun membaca doa dengan laju untuk berbuka puasa sebelum ditegur oleh mangsa.

“Suspek yang tidak berpuas hati menghayunkan kerusi meja makan ke kepala mangsa sehingga kaki kerusi itu patah.

“Seorang daripada anak mangsa kemudian meleraikan pergaduhan itu dan menghubungi pihak polis sebelum suspek ditangkap,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Zaid berkata, polis turut merampas barang kes iaitu kerusi meja makan yang digunakan untuk memukul mangsa.

“Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati mangsa mengalami kecederaan di dahi dan tapak tangan kanan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan / 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2017 dimana jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan penjara selama tempoh boleh sampai setahun atau denda yang boleh sampai dua ribu ringgit atau dengan kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang dan dibenarkan reman selama tiga hari sehingga 27 Mac ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Suresh Krishnan di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan,” katanya.

Sumber : Harian Metro

 

ARTIKEL LAIN YANG MENARIK UNTUK DIBACA

2 Lelaki Mengaku Tak Bersalah Pukul Pekerja Restoran | Dua lelaki yang terbabit menyerang seorang pekerja restoran Pelita Nasi Kandar di Cyberjaya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas beberapa pertuduhan menyerang, mengeluarkan kata-kata kesat serta merosakkan peralatan restoran.

Dua tertuduh iaitu Elanggovan Muniyandi dan Vengateswaran Malaisamy, kedua-duanya berusia 51 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.

Pada 17 Mac lalu, media melaporkan seorang pekerja restoran di Cyberjaya cedera akibat dibelasah tiga lelaki yang juga pelanggan restoran itu yang dipercayai mabuk.

Kejadian dipercayai berlaku selepas seorang daripada tiga suspek terbabit mengambil lauk nasi kandar dengan tangan dan ditegur pekerja restoran.

Teguran itu membuatkan suspek menjadi berang dan bertindak agresif dengan memukul pekerja berkenaan.

Susulan kejadian itu, pekerja restoran terbabit mendakwa mengalami lebam pada leher, kepala, bahu kiri dan telinga akibat dipukul suspek, malah video kejadian itu tular di media sosial.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply