Identiti lelaki berlagak ala samseng jalanan sambil menunjukkan kad kuasa dalam satu video tular disahkan sebagai anggota polis bantuan sebuah bank.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya mengesan video tular berdurasi satu minit 20 saat yang dimuat naik di Facebook itu memaparkan perselisihan faham antara dua pemandu kereta di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke), di sini.
“Hasil semakan, pada 30 April, satu laporan polis diterima oleh anggota Balai Polis Setiawangsa, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.
“Menurut mangsa, kejadian berlaku membabitkan sebuah Honda City yang dipandu secara berbahaya dan cuba mengganggu perjalanannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, suspek tampil ke Balai Polis Pandan Indah, IPD Ampang Jaya bagi membuat laporan berhubung video tular berkenaan.
Katanya, suspek mendakwa mangsa mengganggu laluannya tanpa memberi isyarat sebelum mengubah arah.
“Oleh sebab itu, suspek bertindak menunjukkan kad kuasa polis bertujuan supaya mangsa berhenti.
“Semakan mendapati suspek adalah seorang anggota polis bantuan sebuah bank,” katanya.
Ashari berkata, kes diklasifikasikan sebagai Rujuk Kepada Majistret (RKM) dan akan merujuk kepada agensi polis bantuan berkenaan bertugas untuk tindakan lanjut.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sumber : HM
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Lelaki 22 Tahun Tumbuk Pemandu Di Jalan Raya Ditahan Polis
Labuan: Pemandu yang tular menumbuk beberapa kali muka seorang lelaki ketika di jalan raya dekat lampu isyarat Jalan Patau-Patau, di sini, 12 April lalu ditahan polis, semalam.
Suspek berusia 22 tahun itu ditahan selepas mangsa tampil membuat laporan, sejurus selepas kejadian dia ditumbuk oleh suspek terbabit.
Mangsa seterusnya dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Ahmad Jawila berkata, dalam kejadian itu suspek yang keluar daripada kereta bertindak menumbuk ke muka mangsa beberapa kali.
Katanya, suspek dipercayai bertindak demikian kerana marah berkaitan dengan penggunaan isyarat lampu kenderaan sebelum masuk ke jalan sebelah kanan.
“Akibat kejadian itu, mangsa luka di bahagian dahi, pendarahan pada hidung dan juga sakit pada bahagian mata. Kenderaan mangsa juga mengalami kerosakan.
“Isteri mangsa turut ada bersama pada masa kejadian menyebabkan mangsa ketakutan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ahmad berkata, pada 3.45 petang semalam, polis berjaya menangkap suspek untuk siasatan lanjut bersabit kes yang disiasat.
“Dengan tertangkapnya suspek terbabit, maka kes ini sudah diselesaikan,: katanya.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 45 saat menunjukkan seorang lelaki keluar dari kereta lalu menuju ke kenderaan mangsa dan berlaku pertengkaran sebelum suspek didakwa menumbuk muka mangsa beberapa kali hingga cedera dan berdarah.
Sumber: KMN