Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dijatuhi hukuman 12 tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down dikenali Bella.
Hukuman itu dijatuhi Hakim Izralizam Sanusi selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya.
“Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman pemenjaraan 10 tahun dari tarikh sabitan dan bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman pemenjaraan 12 tahun dari tarikh sabitan.
“Kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan secara serentak,” katanya.
Selain itu, beliau turut memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran RM5,000 sebagai tambahan hukuman.
Hakim turut memerintahkan tertuduh menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam agregat yang disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Siti Bainun yang mengaku tidak bersalah menghadapi perbicaraan bermula 30 Mac 2022 dan antara saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan termasuk mangsa iaitu Bella; pengadu, Zurianty Sudin; bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood; pakar psikiatri, Dr Wan Asyikin Wan Azlan dan pakar bedah plastik, Dr Salmi Mohamed Shukur.
Pada 24 November 2022, Siti Bainun diperintah membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.
Sumber : HM
ARTIKEL YANG BERKAITAN
Siti Bainun Didapati Bersalah Atas Pertuduhan Abai Dan Aniaya Bella
pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down dikenali Bella.
Hakim Izralizam Sanusi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes.
Pada 9 Mac lalu, kes pembelaan Siti Bainun ditutup apabila peguamnya Mohammad Farhan Maaruf memaklumkan kepada mahkamah kesemua lapan saksi selesai memberi keterangan.
Mahkamah kemudian memerintahkan pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis pada 7 April lalu manakala 14 April bagi hujahan balas sebelum memutuskan tarikh keputusan hari ini.
Sepanjang perbicaraan itu, pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria dan Shakira Aliana Alias.

Sumber : KMN