SPRM Sokong Akta Dana Politik Cegah Sumber Haram-Azam Baki. | PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyokong usaha mewujudkan akta dana politik untuk memastikan sumber kewangan diperoleh parti bukan daripada saluran haram.

SPRM Sokong Akta Dana Politik Cegah Sumber Haram-Azam Baki.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata ketika ini sukar untuk membezakan pemberian dana politik dengan rasuah, namun siasatan tetap dijalankan sekiranya menerima laporan.

“Dana (politik) yang kita tidak tahu daripada datangnya, kita bimbang ia adalah dana haram. Undang-undang perlu diadakan bagi tujuan mengawal dana yang diterima parti politik daripada sumber yang tidak dapat dipastikan (unknown source).

“Ini kerana dana-dana yang datang itu berkemungkinan diperoleh daripada sumber-sumber haram,” katanya ketika ditemui di Pejabat SPRM di sini.

Pada 20 Jan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata kerajaan bersetuju membentang dan memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Rakyat bermula 28 Feb ini.

Keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) sebelum itu.

Azam turut mengakui ada menerima laporan berhubung penawaran wang untuk wakil rakyat lompat parti namun sukar untuk dibuktikan kesalahan itu.

“Saya tidak menafikan SPRM pernah menerima laporan berhubung penawaran wang untuk ahli politik lompat parti tetapi tiada kes yang boleh dibuktikan ada wang dibayar,” katanya.

Katanya, Malaysia wajar mengambil contoh beberapa negara lain yang mempraktikkan akta pembiayaan dana politik.

Ini kerana, Azam berkata, pada masa yang sama ahli politik dapat membuktikan kepada rakyat bahawa mereka mengamalkan kepimpinan telus dan berintegriti.

“Ketika ini, negara kita tidak mempunyai undang-undang khusus berhubung pembiayaan dana politik. Sekiranya ahli politik dan Parlimen mewujudkan akta ini, ia perlu disokong,” katanya.

Sumber: FMT

Share.

Leave A Reply