Suami Isteri Berdepan Detik Cemas, Bayi Baru Lahir Tertukar Di Hospital | Seringkali kita lihat kejadian bayi tertukar ini hanyalah dalam drama atau sinetron yang disiarkan di televisyen sahaja. Namun, tidak disangka kejadian seperti ini dialami sendiri oleh seorang wanita yang juga merupakan usahawan dalam talian.
Sepasang suami isteri berdepan detik cemas selepas menyedari anak kedua mereka yang dilahirkan Jumaat lalu di sebuah hospital swasta di Shah Alam, tertukar dengan bayi lain, semalam.
Kejadian itu dikongsikan usahawan wanita, Siti Suriani yang dikenali sebagai Siti Jamumall melalui satu perkongsian di Facebook (FB) Live bermula pada pukul 7.40 malam semalam.
Menurut wanita berkenaan, dia melahirkan bayi lelaki kira-kira pukul 2.36 pagi dan pulang bersama bayi semalam selepas mendapat kebenaran oleh pihak hospital. Namun, pasangan suami isteri itu hanya menyedari bayi berkenaan bukan anak mereka ketika suaminya mahu memotong tanda nama pada kaki bayi itu yang mendapati ia tertera nama wanita lain.
“Saya tidak tahu apa nak cakap, saya gementar dan terkejut selepas melihat tanda nama wanita lain pada kaki bayi lelaki ini.
“Pada tanda nama di kaki bayi itu, tertera nama ibunya dan waktu dilahirkan pukul 3.02 petang, 10 Jun tetapi saya melahirkan anak pada semalam (11 Jun) pada pukul 2.36 pagi,” katanya menerusi perkongsian terbabit.
Sebaik sahaja menyedari perkara itu, Siti Suriani berkata, dia dan suami terus menghubungi pihak hospital untuk memaklumkan perkara berkenaan.
“Ini bukan drama, ini realiti. Sebelum ini hanya tengok drama anak tertukar, tapi kini jadi betul-betul kepada diri saya.
“Jika suami tidak menyedari nama ibu pada tanda nama itu, sampai bila-bila kami menyangka dia anak kami walaupun saya memang ada terdetik kenapa wajah anak saya ketika dilahirkan itu lain dengan yang ini.
“Saya memang ‘double check’ nama ibu pada katil bayi saja sebelum mahu bawa keluar, saya tidak tengok pada tag nama di kaki,” ujarnya.
Sementara itu, video rakaman FB Live yang berdurasi selama satu jam 49 minit berkenaan telah mendapat 2.7 juta tontonan dengan 57,000 tanda reaksi, 68,000 komen dan dikongsi 50,000 kali.
Menerusi FB Live terbarunya malam tadi, Siti Suriani memaklumkan dia sudah menemukan bayinya itu.
“Pasangan suami isteri itu menjaga anak saya dengan baik dan bayi ini juga anak pertama mereka dan saya menganggap kejadian ini sebagai pengajaran yang tidak boleh dilupakan dan dijadikan sebagai kenangan dalam hidup.
Selain itu, ada juga memintanya terus berhubung dengan keluarga bayi yang tersalah diberikan kepadanya itu kerana beliau sudah menjadi ibu susuan bayi berkenaan.
“Saya bersyukur sangat dapat bersama kembali dengan anak saya,” ujarnya.
Sumber: Harian Metro