Seorang lelaki warga emas tidak sempat ke klinik kesihatan dekat sini selepas rebah lalu meninggal dunia di pondok bas di Kampung Serkam Darat, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, mangsa, Dol Samad Abu, 64, ditemui penduduk kampung dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd. Fadzli Othman berkata, laporan telah dibuat oleh orang awam dan pemeriksaan polis serta pegawai perubatan di lokasi bagaimanapun mendapati mangsa telah pun meninggal dunia.

“Mangsa dipercayai telah diserang sakit jantung ketika sedang menunggu bas henti-henti untuk ke Klinik Kesihatan Serkam.

“Kita turut menemui ubat sedutan asma (inhaler) berdekatannya dan pelbagai jenis ubat lain di dalam beg dibawa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambahnya, pihaknya juga menemukan kad kesihatan mangsa yang menunjukkan dia mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Serkam dan Hospital Melaka.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, kejadian itu turut mengejutkan penduduk kampung yang telah sekian lama mengenali mangsa dengan panggilan Pak Samad Abu.

“Mangsa ini belum berkahwin dan Pak Samad Abu ini memang dikenali penduduk kampung kerana sering dibantu untuk dibawa ke Klinik Kesihatan mahupun ke hospital besar.

“Mangsa tinggal bersama adiknya dan keterangan daripada ahli keluarganya juga mempercayai mangsa meninggal dunia kerana diserang sakit jantung,” katanya.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber : Kosmo

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Seorang Warga Emas Meninggal Dunia Terjatuh Dari Pokok Kelapa

Lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia dipercayai terjatuh dari pokok kelapa setinggi 20 meter di Kampung Jal Kechik, di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi tadi, mangsa, Abdul Mutalib Hussin, 69, ditemui terbaring atas tanah oleh pemilik kebun kelapa.

Ahli keluarga mangsa, Sabri Ya, 56, berkata, dia dihubungi pemilik kebun kelapa itu yang memaklumkan kejadian itu.

“Saya bergegas ke kebun kelapa itu dan mendapati dia (mangsa) masih terbaring tidak sedarkan diri dan saya percayai dia terjatuh ketika sedang memetik kelapa.

“Dia tidak berkeluarga dan bekerja sebagai pemetik kelapa sejak beberapa tahun lalu di sekitar kampung ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam

Sabri berkata mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jal Kechik di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, hasil siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

“Mangsa disahkan meninggalkan dunia oleh Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Wakaf Bharu dan hasil proses bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan pada paru-paru dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply