Tiga beranak berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba selepas terperangkap di dalam rumah mereka yang runtuh di bahagian pintu hadapan pada awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi tadi dan segera mengarahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya serta BBP Tabuan Jaya ke lokasi.
“Semasa tiba di lokasi, kesemua mangsa masih berada di dalam rumah dalam keadaan selamat.
“Mereka tiada akses untuk keluar kerana pintu utama telah runtuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata, kesemua mangsa kemudian berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba kira-kira pukul 3.19 pagi.
Katanya, ketiga-tiga mangsa juga tidak mengalami sebarang kecederaan.



Sumber : Kosmo
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Terkandas Sebab Banjir, Lima Pelajar SPM Hampir Terlepas Jawab Kertas Peperiksaan
Lima calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lake, Bau, di sini, hampir tidak dapat menduduki peperiksaan apabila mereka terkandas selepas jalan keluar dari kampung dinaiki air, hari ini.
Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan situasi dan kesemua pelajar berkenaan dapat menduduki peperiksaan tepat jam 8 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan memohon bantuan khidmat khas bagi menghantar pelajar terbabit ke sekolah, pada 7 pagi.
Katanya, tiga anggota bersama Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Tawang Lingem, bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
“Bantuan bomba diperlukan berikutan laluan dari kediaman lima pelajar terbabit iaitu di Kampung Segubang ke SMK Lake terputus akibat limpahan air sungai selepas hujan lebat.
“Anggota bomba menggunakan sebuah lori dan bot untuk melakukan khidmat khas itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semua pelajar terbabit selamat sampai di SMK Lake pada jam 8 pagi dan menduduki peperiksaan itu.
Hujan berterusan melanda sebahagian besar Sarawak sejak Sabtu lalu menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat, hari ini.
Sehingga tengah hari ini, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Bau bagi menempatkan 17 mangsa daripada tujuh keluarga.
Sumber : KMN