Marah, kecewa dan sedih. Itulah luahan perasaan bakal jemaah umrah apabila gagal ‘diterbangkan’ oleh agensi umrah dan pelancongan seperti yang dijanjikan.
Ahmad Saifulrizan Mohd Puad ketika ditemui Sinar Harian di ibu pejabat agensi tersebut dekat sini pada Selasa berkata, beliau sepatutnya terbang ke Arab Saudi bersama 10 ahli keluarga lain pada hari ini.
“Sehingga sekarang, kami tidak mengetahui dengan jelas alasan-alasan penangguhan penerbangan,” katanya.
Menurutnya, banyak perbelanjaaan untuk persiapan telah pun dibuat selain membayar penuh kos umrah sekitar RM9,000 dan RM500 untuk surcaj cuti persekolahan bagi setiap ahli keluarga.
“Kita dah habis banyak (untuk menunaikan umrah) tetapi apabila jadi seperti ini, kami sangat kecewa,” katanya.
Menurutnya, lebih menyedihkan beliau bersama keluarga telah menyewa rumah inap di Sepang bagi memudahkan perjalanan ke Tanah Suci.
“Kami belum lagi daftar masuk homestay kerana dari Kuantan terus ke sini untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan,” katanya.
Beliau yang menetap di Pahang berkata, pengurusan hanya memaklumkan bayaran penginapan hotel di Arab Saudi telah meningkat dari kos sebenar dan memberikan jawapan yang tidak meyakinkan.
Justeru, beliau menuntut syarikat itu membayar semula wang bayaran kira-kira RM95,000 dengan segera.
“Usahkan visa, tiket pun tidak ada,” katanya.
Sementara itu, seorang pegawai kerajaan yang enggan dikenali berkata, beliau kelu untuk menjelaskan penangguhan umrah kepada ibunya.
“Sewaktu saya beritahu emak untuk bawanya menunaikan umrah, dia menangis.
Segala persiapan kita telah lakukan dan apabila benda ini berlaku, saya tidak tahu bagaimana untuk beritahu emak kerana menaruh harapan tinggi,” katanya yang dijadual terbang pada esok.
Menerima nasib serupa, Norul Faizah Abdul Rahim berkata, dia dan suami masih merahsiakan penangguhan menunaikan umrah daripada ibu bapa.
Menurutnya, perjalanan umrah kumpulannya yang terdiri daripada 10 ahli keluarga telah ditangguh sebanyak empat kali.
Ujar Norul Faizah, mereka tertanya-tanya dan hilang arah apabila pegawai syarikat yang mengendali kumpulan senyap membisu apabila ditanya.
Beliau berasa tertekan apabila perancangan rapi yang dibuat sebelum ini musnah dan menyifatkan perasaan kecewa dirasainya ketika ini sukar digambarkan.
“Kita sudah membuat bayaran penuh dan tidak berhutang sesen pun, tetapi mereka buat kami seperti ini,” katanya.
Dalam pada itu, wakil syarikat berkenaan ketika ditemui memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Awal bulan ini, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah Dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham mendedahkan isu kartel serta monopoli tiket penerbangan membabitkan pakej umrah dan haji oleh beberapa syarikat gergasi sememangnya wujud dan menjadi punca kenaikan harga pakej ibadah berkenaan di negara ini.
Beberapa hari selepas itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tujuh individu termasuk pengarah dan kakitangan syarikat pelancongan yang dipercayai terlibat dalam sindiket rasuah pengagihan kuota tiket penerbangan umrah membabitkan nilai RM10.8 juta.
Sumber : SH