Terlalu Kasih, Hampir Setiap Hari Kucing Ini Ziarah Kubur Tuannya | TANAH MERAH: Kasih seekor kucing. Itu yang berlaku kepada Nana, kucing jantan yang hampir setiap hari menzirahi kubur tuannya, Ab Aziz Ismail, 61, yang meninggal dunia pada Julai 2018 akibat komplikasi buah pinggang.
Selain rutin mengunjungi pusara terletak kira-kira lima meter dari rumah arwah setiap pagi, Nana juga akan menghabiskan masa di atas kereta peninggalan Ab Aziz serta buaian yang menjadi tempat kesukaan arwah.
Isteri Ab Aziz, Hasnah Che Amat, 68, berkata kucing berkenaan dipelihara mereka sejak enam tahun lalu dan menjadi haiwan kesayangan arwah sebelum suaminya meninggal dunia.
“Sepanjang arwah suami hidup, Nana banyak bermanja dengannya dan lebih tersentuh hati, setiap hari waktu solat Subuh, kucing itu akan setia menunggu arwah di pagar rumah setiap kali suami ke masjid.
“Itulah rutin Nana setiap pagi dan sebaik arwah suami pulang, dia akan memberi Nana makan. Mungkin sebab itu hubungan mereka cukup akrab sehinggakan kematian arwah suami seperti masih dirasai Nana sehingga kini,” katanya ketika ditemui di Kampung Paloh.
Pesara guru itu berkata, selama 40 hari dari hari kematian suaminya, beliau sekeluarga akan ke kubur untuk membacakan Yasin, tetapi Nana selalunya sampai terlebih dahulu.
“Di kubur arwah, Nana akan duduk di bahagian kepala. Bermula dari situlah kami lihat keajaiban kasih sayang Nana dan arwah suami. Malah, sehingga kini setiap pagi Jumaat, kami akan ziarah kubur, tentu Nana akan sampai dahulu.
“Bagi saya, kucing ini sangat istimewa buat kami sekeluarga dan akan menjaganya dengan baik,” katanya.
Hasnah berkata, dalam tempoh tiga bulan kematian suami, keadaan Nana agak menyedihkan kerana hilang selera makan.
“Namun, keadaannya kembali pulih selepas itu dan Nana banyak menghabiskan masa di atas kereta arwah suami. Sehingga kini, setiap kali saya bercucuk tanam di belakang rumah, Nana akan setia menunggu saya sehinggalah saya naik ke rumah.
“Inilah orang kata, bila kita berbuat baik kepada sesiapa sahaja termasuk haiwan, mereka akan sentiasa mengenang kita,” katanya.
Sumber : BH