Thailand Sasarkan ‘Tom Yam Kung’ Disenarai Dalam UNESCO 2021 | Jika ditanya kepada pelancong-pelancong asing yang melawati negara Thailand tentang makanan yang paling digemari, sudah pasti ‘Tom Yam Kung’ menjadi pilihan utama.

Thailand Sasarkan 'Tom Yam Kung' Disenarai Dalam UNESCO 2021
Makanan Thai umumnya tidak hanya memberikan rasa yang indah tetapi juga mengandungi khasiat perubatan dalam ramuan herba juga. Tom yam kung adalah salah satu contoh terbaik. GAMBAR: Thaiways

Baru-baru ini, Thailand telah mensasarkan hidangan ‘Tom Yam Kung’ untuk disenaraikan dalam Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai sebahagian daripada warisan negara tersebut.

Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha telah bersetuju meletakkan hidangan ‘Tom Yam Kung’  sebagai calon  bagi senarai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO 2021 tahun ini.

‘Tom Yam Kung’ atau dikenali sebagai Sup Udang Panas merupakan campuran bahan-bahan segar seperti serai, daun limau purut, jus limau nipis, sos ikan, cili dan udang.

Ia merupakan antara sepuluh hidangan Thai yang disukai masyarakat dunia menerusi satu kajian yang dilakukan baru-baru ini. Hidangan ini bukan sahaja menjadi kegemaran masyarakat luar, malah masyarakat tempatan Thai juga turut menyukai hidangan ini kerana rasanya yang masam serta pedasnya yang unik.

Perkataan ‘TomYam’ itu sendiri merujuk kepada proses memasak dimana, ‘Tom’ bermaksud merebus manakala ‘Yam’ membawa maksud campuran. Bagi maksud ‘Kung’ pulak merujuk kepada udang.

Menurut Menteri Kebudayaan Itthipol Kunplome, ‘Tom Yam Kung’ sendiri mencerminkan gaya hidup sederhana komuniti petani yang tinggal di sepanjang sungai dan terusan Thailand yang subur.

“Mencadangkan ‘Tom Yam Kung’ dalam salah satu warisan dunia akan menjadi saat yang membanggakan buat warga Thai malah ia dapat meningkatkan kesedaran kepada warga asing tentang kepelbagaian makanan yang terdapat di Thailand.

“Penyenaraiannya dalam senarai UNESCO juga dapat mewujudkan lebih banyak lagi peluang kepada perniagaan makanan Thailand, pekerjaan mahupun pendapatan bagi pengusaha makanan termasuk penternak udang, petani tumbuhan herba, para pengeksport serta pengusaha restoran dalam dan luar negara”, katanya lagi.

Tarian Kon serta Urutan Tradisional Thailand  telah disenaraikan dalam senarai UNESCO iaitu Warisan Budaya Tidak Ketara masing-masing pada tahun 2018 dan 2019.

Sumber: Bernama

Share.

Leave A Reply