Tindakan Undang-Undang Terhadap Peminjam Gagal Bayar PTPTN. | KUALA LUMPUR – Tindakan undang-undang merupakan pilihan terakhir akan dipertimbangkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terhadap peminjam yang gagal membuat bayaran balik pinjaman masing-masing.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noriani Ahmad berkata, pilihan terakhir itu akan diambil selepas semua usaha yang telah dilaksanakan untuk membantu peminjam membuat bayaran balik itu gagal.
“PTPTN sebenarnya begitu mesra dengan peminjam dan bersedia untuk membuat rundingan dan perbincangan bagi membantu peminjaman membuat bayaran balik mengikut kemampuan kewangan peminjam tersebut.
“Tindakan udang-undang adalah pilihan terakhir yang akan dipertimbangkan PTPTN setelah semua usaha telah dilaksanakan untuk membantu peminjam membuat bayaran balik ini gagal.
“Bagaimanapun dalam tempoh tersebut juga, PTPTN sentiasa terbuka dan prihatin atas kekangan yang dihadapi setiap peminjam,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang mahu jumlah peminjam dibawa ke mahkamah kerana kegagalan membuat bayaran balik PTPTN.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang mahu tahu sejauh mana kemampuan PTPTN memberi pinjaman kepada pelajar pada masa akan datang, Noraini berkata, perkara itu bergantung kepada prestasi bayaran balik pinjaman.
“Model pembiayaan digunapakai PTPTN bergantung kepada prestasi bayaran balik sebagai sumber utama dana bagi membiayai pinjaman sedia ada,” katanya.
Tambahnya, setakat 30 September lalu, PTPTN menerima sebanyak RM15.5 bilion daripada RM24.6 bilion bayaran balik. dan jumlah itu meliputi 2.4 juta peminjam yang telah menamatkan pengajian masing-masing.
“Setakat 30 September 2021, seramai 2.4 juta peminjam menamatkan pengajian dan sepatutnya PTPTN mula menerima hampir RM24.6 bilion sebagai bayaran balik.
“Tetapi setakat ini (hanya) 77.75 peratus mula membayar balik dengan jumlah hampir 800,000 peminjam telah selesaikan pinjaman, 400,000 peminjam pula sedang membuat bayaran balik secara konsisten mengikut jadual pembayaran tersebut.
“Selain itu, seramai lebih kurang 700,000 peminjam membuat bayaran balik tapi tidak konsisten. Jadi, secara keseluruhannya RM15.5 bilion telah berjaya dikutip (setakat 30 September 2021),” katanya.
Sumber: Sinar Harian