Wanita Lumpuh Ini Cekal Siapkan 10,000 Tempahan Ketupat Palas | RANTAU PANJANG: Walaupun hanya mampu berkerusi roda akibat lumpuh separuh badan, seorang wanita cekal menerima tempahan hampir 10,000 biji ketupat palas sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Hanismariza Mohamed, 49, menerima tempahan pelanggan bukan sahaja dari seluruh Kelantan malah negeri luar seperti Johor, Pahang, Melaka dan Selangor yang mana diproses sejuk beku sebelum dipos kepada setiap pelanggan.
Dia yang lumpuh paras pinggang ke bawah akibat kemalangan jalan raya lima tahun lalu, menggunakan kemahiran membuat ketupat palas hasil resipi turun-temurun bagi mencari rezeki sejak dua tahun lalu dengan dibantu anak-anak.
“Alhamdulillah, permintaan ketupat bertambah berkali ganda daripada tahun sebelum ini sehingga ada antara permintaan baharu perlu ditolak susulan kekangan masa dan fizikal saya. Malah seminggu sebelum puasa, saya dah mula sibuk menyiapkan tempahan.
“Saya menyediakan tujuh jenis ketupat iaitu berperisa lemak manis, lemak masin, lemak kacang, manis kacang, pulut hitam, serunding daging dan serunding daging serta kacang bermula pada harga RM23 sehingga RM32 sekilogram bergantung kepada jenis ketupat.
“Dengan fizikal saya sebegini, agak sukar untuk menyiapkan tempahan namun dipermudahkan dengan bantuan anak-anak selain sudah mula biasa melalui pengalaman membuat ketupat dalam jumlah banyak pada tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gual Kemunting, di sini, semalam.
Hanismariza yang juga ibu kepada lima cahaya mata berusia 13 sehingga 24 tahun, mengakui bersyukur kerana turut mendapat sokongan suami, Mohd Zaki Abd Rahman, 52, yang ada masanya sama membantu jika berkelapangan.
Jelasnya, proses yang agak sukar sepanjang menyiapkan ketupat ialah untuk mengarun pulut supaya ia masak serata dan diperasakan dengan sebaiknya selain proses membungkusnya yang mengambil masa agak lama.
“Dengan hanya duduk di kerusi roda ketika menyiapkan tempahan, menyebabkan saya sering berasa sakit pada bahagian belakang badan. Bagaimanapun, ia tidak menjadi alasan sebaiknya terus berusaha menyiapkan ketupat palas yang ditempah.
“Sebenarnya, pada hari biasa saya turut menghasilkan ketupat palas menggunakan sekitar 150 kilogram (kg) beras pulut sebulan berbanding 300kg yang digunakan khusus bagi menyiapkan tempahan Hari Raya Aidilfitri.
“Besar harapan saya untuk terus mengembangkan perusahaan ketupat palas tetapi masih mempunyai kekangan modal membeli peti sejuk beku atau membayar upah pekerja,” katanya.
Hanismariza berkata, pelanggan mengetahui ketupat palas miliknya melalui perkongsian rakan-rakan dan saudara- mara selain turut mempromosikanya melalui lama sosial Facebook.
SUMBER : Berita Harian