Wira Negara Harun Jusoh Terlantar Akibat Radang Sendi | Seperti yang sedia maklum, pada setengah abad lalu, kelincahan seorang wira negara kita iaitu Harun Jusoh beraksi di tengah padang sebagai pemain bola sepak cukup menggerunkan pihak lawan.
Namun kini, pada usianya 73 tahun, bekas tonggak pemain kebangsaan yang pernah beraksi di Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada tahun 1972 itu sedang ‘bertarung’ dengan penyakit radang sendi yang dialami sejak sebulan lalu.
Menurut isterinya, Sharifah Azizah Syed Omar, 69, berkata, keadaan itu telah menyebabkan suaminya tidak dapat bangun dan hanya terlantar di atas katil sahaja.
Sharifah Azizah berkata, sejak suaminya bersara daripada arena bola sepak pada awal 1980-an itu, suaminya mula menunjukkan tanda-tanda sakit saraf tetapi masih aktif dan boleh menguruskan dirinya sendiri.
“Begitupun keadaan kesihatannya semakin merosot awal tahun ini dan disahkan menghidap radang sendi sejak sebulan lalu,” katanya kepada Kosmo di rumahnya di Batu Buruk di sini semalam.
Dalam pada itu, isterinya turut memberitahu bahawa suaminya itu masih menerima wang pencen sebanyak RM 1,800 sebulan yang digunakan untuk membeli keperluan seperti lampin pakai buang dan susu.
Menurutnya, dia juga terpaksa menggunakan khidmat jururawat harian untuk merawat suaminya itu. Hal ini kerana, keadaannya yang juga kurang sihat selain empat anak mereka yang tidak menetap di Terengganu.
Harun merupakan tonggak skuad negara dan rakan sepasukan Allahyarham Mokhtar Dahari ketika mereka sama-sama beraksi di Munich selain pernah menyertai Sukan SEA 1969 di Myanmar.
Harun juga membarisi skuad negara ketika mengalahkan Arsenal 2-0 dan seri 1-1 pada 1975.
Sumber: Kosmo