Wanita Ini Kongsi Amalan Sehingga 6 Orang Anaknya Berjaya Hafal 30 Juzuk al-Quran.

| March 18, 2019 | 0 Comments

Wanita Ini Kongsi Amalan Sehingga 6 Orang Anaknya Berjaya Hafal 30 Juzuk al-Quran.| KHALIFAH MEDIA NETWORKS – “Saya mula perdengarkan bacaan ayat suci al-Quran kepada anak-anak sejak mereka dalam kandungan, selain jaga makan bagi menguatkan daya ingatan,” demikian kata ibu kepada lapan anak ketika diminta berkongsi amalan dilakukan sehingga enam daripada lapan anaknya kini bergelar hafiz 30 juzuk al-Quran.


Nor Latifah bersama anaknya, Engku Sofiah yang berjaya menyempurnakan hafalan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh lima bulan menggunakan kaedah ‘fast track’ di Akademi Al-Quran Amalillah, Bukit Payong, Marang.

Nor Latifah Abdul Rahman, 50, dari Teluk Kalong, Kemaman berkata, selain menjadikan bacaan al-Quran amalan harian, pemakanan anak-anaknya juga dijaga dengan rapi.

“Saya akan pastikan mereka ambil susu kambing dan madu. Badam pun baik untuk daya ingatan anak-anak.

“Saya juga akan pastikan mereka makan makanan yang saya masak. Kalau pergi mana-mana, memang saya bawa bekal dari rumah,” katanya ketika ditemui sempena Haflah Takrimi Akademi Al-Quran Amalillah kali pertama di Taman Tamadun Islam (TTI), hari ini.

Pada majlis itu, anaknya, Engku Sofiah Engku Saharuumnizam, 14, dinobatkan sebagai pelajar cemerlang setelah berjaya menguasai 30 juzuk al-Quran dalam tempoh lima bulan 10 hari di Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) yang beroperasi di Bukit Payong, Marang.

Selain Engku Sofiah, lima lagi anaknya yang telah menyempurnakan hafalan 30 juzuk al-Quran ialah Solehah Radhiah, 25; Engku Mahmud Nasri, 23; Engku Muhammad Luthfi, 20; Engku Ahmad Syafiq, 17; Engku Sofiah, 14 dan Engku Daud Shauqi, 12.

Menurut Nor Latifah, dia dan suaminya yang merupakan seorang pesara, Engku Saharuumnizam Engku Abd Aziz, 57, tidak kisah berbelanja besar demi pendidikan anak-anak.

“Disebabkan memilih hantar anak-anak ke pusat pengajian swasta, secara kasar, belanja sekolah kelima-lima mereka dalam RM3,000 setiap bulan.

“Suami saya tak kisah anak-anak nak ambil jurusan apa sekalipun, asalkan ayat-ayat al-Quran tersemat di dada,” katanya yang kini berkhidmat dengan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kijal.

Kredit : Sinar Harian

Tags: , , , , ,

Category: AGAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *