Mayat yang tidak dapat dikenalpasti identitinya ditemui terapung di sungai berhampiran Loji Rawatan Air Kahang Baru, Batu 22, Kahang, di sini, 11.40 pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, mayat ditemui tersangkut pada pelepah kelapa sawit.
Katanya, hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang kesan luka atau lebam berunsur jenayah pada badan mangsa.
Katanya, saksi lelaki, 41, yang sedang menjalankan kerja proses rawatan air di loji berkenaan ternampak objek menyerupai mayat.
“Pemeriksaan dibuat oleh Pegawai Penyiasat Jenayah bersama Ketua Polis Balai (KPB) Kahang mendapati mayat dalam keadaan membengkak, berpakaian baju T dan seluar panjang hitam.
“Tiada apa-apa aksesori dan lain-lain dokumen peribadi pada badan mangsa,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom Kluang (HEBHK) dan untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.
Dalam pada itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Darmanshah Mohd Naim dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang berkata, lapan anggota bersama tiga jentera dihantar ke tempat kejadian.
Katanya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mayat mangsa dibawa ke tebing sungai sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada 3.45 petang,” katanya.
Sumber : HM
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
(VIDEO) Pemancing Jumpa Mayat Lelaki Terapung Di Sungai Langat
Tular satu video orang awam menjumpai mayat seorang lelaki berhampiran Sungai Langat, Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat, Selangor pada Sabtu.
Melalui video tular yang dimuat naik oleh pengguna TikTok cikFaizal97 memaparkan mayat seorang lelaki yang tidak dikenali identiti dilihat terapung di sungai berkenaan.
“Orang awam jumpa jumpa mayat ketika nak memancing,” tulisnya.
Dalam video tersebut kelihatan seorang lelaki cuba menarik mayat tersebut menggunakan sebatang kayu ke tebing sungai.
” Tarik, tarik, cuba sangkut pada baju atau seluar,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Datuk Norazam Khamis mengesahkan kejadian terbabit.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat pada pukul 1.30 petang Sabtu.
“Setibanya di lokasi kejadian, anggota yang bertugas mendapati ada satu mayat seorang lelaki India berusia 28 tahun berada di tebing sungai.
“Pasukan Bomba dan Penyelamat Banting, Selangor diketuai Pegawai Bomba Kanan 1 (PBK1), Zaharul Izzat kemudiannya mengangkat mayat menggunakan pengusung dari lokasi kejadian.
“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Majoriti pada Ahad.
Hasil pemerhatian Majoriti, video tersebut sudah dipadamkan sebelum dimuat naik semula di halaman Facebook Sepang Viral.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sumber: KMN