Seorang bayi perempuan berusia 17 bulan melecur selepas tersiram kuah kacang panas yang baru siap dimasak ibunya di Kampung Bukit Gading, di sini.
Nur Armel Belindha Irme dilapor melecur 10 peratus pada bahagian perut, paha, kaki dan sebahagian muka dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam Jumaat lalu.
Ibunya, Noor Amnie Syazwanie Azman, 26, berkata dia sedang menyiapkan kuah kacang yang baru siap dimasak untuk dibekalkan kepada seorang ahli keluarga.
“Kuah kacang yang masih panas itu saya masukkan ke dalam bekas dan diletakkan di atas meja. Anak datang menghampiri secara tiba-tiba dan terus mencapai bekas itu dan kuah kacang yang masih panas itu tersiram ke seluruh tubuhnya.
“Dia terus meraung dan dalam keadaan panik, saya mendukungnya ke bilik mandi untuk membersihkan kotoran itu sebelum bergegas ke hospital,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Noor Amnie berkata, dalam perjalanan ke Hospital Tanah Merah, sekitar tubuh anak bongsu daripada dua beradik itu sudah kemerah-merahan dan ada yang menggelembung dan bayinya tidak henti-henti menangis kesakitan.
“Dia dirawat di zon kecemasan beberapa jam sebelum dipindahkan ke wad biasa. Doktor memberitahu anak saya melecur 10 peratus dan lukanya perlu dibalut bagi mengelakkan jangkitan kuman.
“Setiap hari luka Armel perlu dicuci dan setiap kali itulah saya tidak sanggup melihatnya meraung kesakitan.
“Setakat ini, kami tidak dimaklumkan bila dia dibenarkan pulang. Apa yang penting sekarang adalah anak sembuh dan harap kejadian ini menjadi pengajaran buat orang lain,” katanya.
Sumber : BH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
[VIDEO] Muka Bayi 2 Tahun Melecur Kena Air Panas Dalam ‘Cup’ Ramen
Sayu hati seorang ibu apabila melihat anaknya melecur di bahagian muka akibat terkena air panas sehingga dikejarkan ke Hospital Temerloh, Pahang.
Menerusi hantaran video yang dikongsi Rina Nana, memaparkan anaknya yang berusia dua tahun telah terkena air panas rendaman ramen di dalam ‘cup’ (cawan).
Menurutnya, pada malam kejadian, dia teringin menjamah ramen di dalam cawan yang dibeli.
“Rina baru balik dari dobi Selasa malam, lepas itu sampai di rumah Rina nampak ramen dalam cawan. Tak tahu kenapa hati rasa nak sangat makan ramen, Rina capai ramen pergi dapur dan panaskan air,” katanya.
“Lepas panaskan air dan nak tunggu menggelegak, Rina duduk dengan anak depan televisyen. Tak sampai beberapa saat, Rina ke dapur untuk buang sampah, bila Rina pusing, tengok Anaqi sudah capai ramen yang ada air panas,” katanya.
Jelas Rina, dia yang terkejut dengan keadaan itu, tidak sempat untuk menyambut ramen berkenaan seterusnya terkena pada muka dan dada anaknya, Rizqi Anaqi.
Wanita itu kemudian membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Maran sebelum dirujuk ke Hosiptal Temerloh.
“Keadaannya lecur 70 peratus. Rizqi juga terpaksa menjalani pembedahan bagi mencuci luka,” ujarnya.
Tambahnya, kejadian tersebut merupakan satu pengajaran buat dirinya untuk lebih berhati-hati untuk masa akan datang.
@mekna345 uncle untie doa kan rizqi cepat sembuh , semoga doa kalian dimakbul kan ,amin amin , terkena air panas #fyppppppppppppppppppppppp
Sumber : KMN