Aku Dah Tak Solat Ya Allah | Assalamualaikum semua, hari ini aku nak berkongsi dengan semua kisah hidup aku sekarang. Aku mohon para pembaca untuk memberi jalan penyelesaian dan bantu aku untuk selesaikan masalah aku ini. Terima kasih banyak aku ucapkan terlebih dahulu pada pembaca yang sudi berkongsi pendapat mereka pada post aku ini.
Aku Azura, berusia 20-an dan masih lagi single. Aku bekerja dalam bidang
professional di syarikat multinasional terbesar di Malaysia. Sejak dari
awal hidup aku agak smooth dari segi pelajaran mahupun bidang pekerjaan.
Aku antara pelajar cemerlang di universiti dan apabila tamat sahaja
belajar, belum sempat konvokesyen, aku sudahpun mendapat tawaran bekerja.
Dan aku juga menjadi antara pekerja yang disayangi bos-bos aku
disebabkan kerajinan aku dan juga banyak menyelesaikan masalah-masalah
yang melanda syarikat dan department aku.
Walaupun masih baru bekerja, aku menjadi antara orang yang mendapat
kepercayaan bos dan sering mendapat pujian bos dan rakan-rakan. Gaji aku
pula agak tinggi disitu melebihi orang yang sudah pun bekerja selama
beberapa tahun.
Hidup aku dari awal nampak mudah bukan? Namun begitu, entah kenapa sejak
dua menjak ini hidup dan hati aku rasa kosong sangat. Rasa ada benda
yang tak kena sedangkan tak ada cabaran besar pun dalam hidup yang melanda.
Semuanya okay-okay saja. Tapi jiwa aku ini masih resah dan tak tenang.
Aku rasa itu berkait rapat dengan keadaan aku sekarang ini yang sudah
tidak lagi mendirikan solat.
Aku dahulunya rajin solat lima waktu. Namun begitu, akibat keaalpaan aku
sendiri dan juga kerana terlalu sibuk bekerja. Lama-lama, aku tinggalkan
sedikit demi sedikit solat itu. Lama-lama terus aku tinggalkan solat
lima waktu.
Bukan itu sahaja, mata aku senang sangat melihat maksiat terutamanya di
telefon. Ya, aku tahu, aku teruk. Hati aku sudah hitam.
Aku sebenarnya berperang dengan diri aku sendiri. Aku tahu berdosa besar
tinggalkan solat. Dari luaran aku bertudung litup, nampak seperti gadis
alim. Namun dalaman aku teruk.
Aku dapat rasa yang nikmat masa aku setiap hari Allah Tarik dan rasa
pendek sangat. Setiap hari seperti terkejar-kejar melakukan kerja dan
masa satu hari seperti tidak cukup untuk aku.
Aku pernah dengar ceramah berkenaan orang yang tidak solat ini, Allah
akan tarik nikmat masa dia. Semuanya rasa sekejap saja.
Aku sedaya upaya cuba untuk bangkit solat semula, tapi setiap kali mahu
mendirikan solat. Hati aku rasa berat sangat.
Kadang-kadang waktu solat, aku boleh menguap banyak kali. Kadang kala
pula aku boleh tertidur diatas sejadah.
Setiap hari juga aku akan mengunci jam untuk bangun tahajjud. Aku tahu
tahajjud boleh melembutkan hati yang penuh dosa.
Namun begitu, apabila jam berbunyi aku akan tutup semula dan sambung
tidur kembali. Aku seperti tiada tenaga dan sangat berat untuk solat.
Jiwa aku rasa berat.
Aku juga cuba sedaya upaya mendengar ceramah tentang dosa meninggalkan
solat, mendengar ayat-ayat al-quran dan cuba istighfar setiap hari
supaya Allah lembutkan hati aku, supaya dosa-dosa aku gugur dan Allah
rajinkan aku solat semula.
Kadang kala aku merintih seorang diri dalam hati dengan dosa-dosa aku
ini. Namun begitu, keadaan aku masih sama. Setiap kali mahu solat, hati
aku akan rasa berat dan akan rasa mengantuk sangat.
Aku rasa berdosa. Begitu banyak nikmat dan rezeki yang Allah limpahkan
pada aku, tapi aku menjadi hambanya yang tidak bersyukur.
Mohon bantuan para pembaca, apa yang patut aku lakukan?
Harap pembaca sudi kongsikan tip-tips yang boleh aku gunakan supaya aku
rajin solat kembali.
– Azura (Hamba yang berdosa) (Bukan nama sebenar)
Kredit: IIUM Confessions
1 Comment
Sebab tak faham. Kita akan disibukkan oleh dunia. Lebihkan akhirat.