Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemasukan pengembara asing ke Malaysia akan dikawal dengan lebih ketat tanpa menjuruskan kepada mana-mana negara, termasuk yang mempunyai kadar kes COVID-19 yang tinggi seperti China dan Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri berkata, masalah kesihatan rakyat adalah perkara paling utama begitu juga soal pelancongan serta pertumbuhan ekonomi sekali gus tidak boleh mengatasi kepentingan mengawal dan merawat rakyat daripada segi wabak serta jangkitan, termasuk COVID-19.
Justeru, katanya, pemantauan terhadap kemasukan pengembaran itu akan terus dipantau secara telus tanpa melonggarkan syarat yang ditetapkan, antaranya pengesanan suhu badan.
“Sekarang kita tidak ambil pendirian untuk mendiskriminasi mana-mana negara kerana kalau dilihat kadar jangkitan di China seperti yang diuar-uarkan, kita juga tahu kematian di AS juga tinggi, begitu juga dengan beberapa negara lain.
“Kita ambil tindakan menyelamatkan rakyat kita. Jadi, sesiapa saja yang masuk harus dipantau dan dikenakan syarat sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.
Lonjakan ketara kes COVID-19 di China mengundang kegusaran banyak pihak, termasuk rakyat Malaysia yang mahu kerajaan mengambil langkah kawalan terbaik seperti melakukan ujian saringan COVID-19 sebaik pengembara tiba di pintu sempadan negara.
Semalam, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata Malaysia bersiap siaga menerima kemasukan pelancong asing khususnya dari China yang berdepan lonjakan penularan COVID-19 jika mesyuarat Kabinet esok, memutuskan untuk membenarkan kemasukan pengembara dari negara itu.
Beliau berkata sebarang ketetapan baharu, langkah tambahan termasuk mewajibkan ujian COVID-19 atau perubahan prosedur operasi standard (SOP) menerima kemasukan pengembara terbabit akan diputuskan Kabinet.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan, pada tahun lalu, jumlah pelawat dari China adalah seramai 336,000 orang dan majoritinya ialah pelancong dan pada Disember lalu, jumlah pelawat dari negara itu adalah seramai 53,000 orang.
“Ia tidak memberi kesan seperti mana yang digembar-gemburkan dan kita tidak melihat jangkitan yang mengaitkan mana-mana negara.
“Kita nak jelaskan perkara ini daripada segi data yang kita peroleh tapi ini tidak bermakna, kita beri kelonggaran kepada mana-mana negara, termasuk China. Kita harus pantau menurut keperluan dan kepentingan kita,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan, Malaysia tidak mahu mengambil satu tindakan gopoh kerana beberapa laporan berkaitan kadar jangkitan yang tinggi di sesetengah negara.
“Kita mahu tekankan kawalan ini diperketat tapi tidak memilih negara kerana umpamanya, pengunjung mungkin datang dari Indonesia tetapi bulan lalu, dia ke China.
“Hal-hal sedemikian lebih kompleks. Jadi, kita tidak mahu ambil tindakan yang gopoh.
“Jika dilihat tinjauan seluruh dunia, masalah itu lebih menyeluruh dan yang penting adalah kita tidak bertolak ansur dalam menjamin keselamatan rakyat,” katanya.
Menurut Perdana Menteri laporan media yang dikeluarkan berkaitan pelancong China juga berbeza dengan fakta sebenar yang berlaku, serta tidak memberi kesan kepada kadar jangkitan di negara ini.
Anwar berkata disebabkan dos penggalak tidak mendapat sambutan seperti dos pertama dan kedua, banyak bekalan itu sebelum ini sudah dilupuskan.
“Jadi saya usulkan mula dengan wartawan yang belum ambil booster (penggalak) pertama untuk ambil, kerana jangkitan ini ikut unjuran dan kajian Kementerian Kesihatan belum menentu, belum tamat.
“Kalau yang dah ambil dos pertama, dos kedua, booster itu kena ada, kerana vaksin ini masih ada. Jadi untuk bulan Januari ini semua wartawan dikehendaki ambil booster kemudian disusuli dengan rakyat lain kerana kalau wartawan beri contoh teladan yang baik, itu akan diikuti oleh rakyat,” katanya berseloroh.
Malah Perdana Menteri turut menjelaskan beliau juga telah mendapatkan dos penggalak COVID-19.
“Saya sudah (ambil dos penggalak). Alhamdulillah. Saya boleh tunjuk saya punya MySejahtera,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada beliau telah mendapatkan dos penggalak itu.
Sumber: BH