Seorang kanak-kanak lelaki melecur di bahagian badan sebelah kanan dari bawah ketiak hingga ke paha akibat bermain api di timbunan sampah berhampiran rumahnya di Kampung Parit Kudus, Pontian Jumaat lalu.
Bagaimanapun, setelah lima hari berlalu, mangsa berusia sembilan tahun itu tidak dibawa ke hospital oleh ibu bapanya untuk mendapatkan rawatan rapi.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohd. Shofee Tayib berkata, perkara itu terbongkar selepas pengadu yang merupakan rakan kepada ibu mangsa membuat laporan polis Balai Polis Pontian.
Beliau berkata, pengadu mengetahui mengenai perkara itu menerusi kumpulan whatsapp keluarga apabila nampak gambar anak lelaki kepada kenalannya yang dikenali sebagai Syikin.
Katanya, pengadu didapati budak tersebut tidak dibawa oleh ibu bapanya ke mana-mana hospital untuk mendapatkan rawatan dan kanak-kanak tersebut masih lagi berada di rumahnya tanpa ada sebarang rawatan.
“Laporan dibuat kerana pengadu tidak berpuas hati dengan ibu bapanya yang masih membiarkan anaknya tidak menerima rawatan walaupun lima hari berlalu. Sehingga laporan ini dibuat, luka mangsa semakin teruk dan lukanya sudah mula berbau,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semasa anggotanya sampai ke lokasi kejadian mendapati mangsa dalam keadaan tidak berpakaian berada di luar rumah untuk dibawa ke hospital oleh keluarganya.
Tambahnya, hasil pemeriksaan awal keatas anggota badan mendapati terdapat kesan terbakar dan melecur di beberapa bahagian seperti di bahagian kanan badan hingga ke kaki, bahagian lengan kiri, kedua-dua bahagian dalam peha, bahagian telinga kanan.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Pontian menaiki ambulan untuk menjalani pemeriksaan lanjut. Mangsa kini dalam keadaan stabil dan akan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan selanjutnya,” katanya.
Menurut beliau, ibu bapa mangsa berusia 36 dan 33 tahun telah ditahan pada jam 2 pagi pada Selasa untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber : Kosmo
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Premis OKU Terbakar, Penjaga Rumah Melecur 30%
Johor Bahru: Seorang penjaga rumah penjagaan orang kurang upaya (OKU) melecur 30 peratus selepas Rumah Persatuan Orang Cacat Johor Bahru, di Jalan Ahad, Kampung Ungku Mohsin di sini, terbakar hari ini.

Dalam kejadian 7.50 pagi itu, lelaki berusia 64 tahun itu cedera, manakala empat penghuni yang juga OKU penglihatan dilaporkan selamat.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Faiz Suleiman berkata, seramai 17 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dikejarkan ke lokasi berserta enam anggota BBP Tebrau.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal terbakar 65 peratus.
“Seorang mangsa yang juga penjaga rumah persatuan itu melecur 30 peratus di bahagian anggota badan dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Selain itu, terdapat empat mangsa lain iaitu warga emas lelaki cacat penglihatan sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum kita tiba di lokasi dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua BBP Larkin berkata, operasi kemudian ditamatkan pada 10.04 pagi.
Sumber: KMN