Empat Tahun Tak Balik Raya Berkorban Demi Negara | Tak dapat balik kampung! Mungkin itulah luahan kepada mereka yang tidak berpeluang untuk balik raya di kampung masing-masing pada 1 Syawal kali ini.

Empat Tahun Tak Balik Raya Berkorban Demi Negara

Kota Tinggi: Mohd Basir J M Abdul Maid, 29, merupakan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berpangkat Laskar Kelas I Maritim memaklumkan menyambut hari raya tanpa keluarga dan hanya ditemani rakan setugas yang lain adalah kebiasaan mereka dalam melaksanakan tugas kepada negara.

“Laungan takbir raya hanya bertemankan anggota lain,” katanya.

Mohd Basir berkata, tahun ini adalah tahun yang keempat buatnya untuk beraya bersama rakannya di atas kapal disebabkan tugas hakikinya. Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu masalah yang besar buatnya asalkan tugas dan tanggungjawabnya kepada negara dapat digalas dengan sempurna.

Dia yang berasala daripada Sandakan, Sabah, cekal dan tabah dalam menjalankan amanah dan komitednya dalam menyambung pengajian dalam Sarjana Muda Sastera dalam bidang Geografi di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Katanya, bukan mudah untuk dia menempuhi alam pekerjaan sekaligus menyambung pengajian secara jarak jauh yang kini sudah memasuki tahun keempat dan akan tamat belajar pada Ogos tahun hadapan.

“Sudah tahun keempat saya tidak balik raya berikutan terbabit dengan operasi dan bertugas di pejabat. Tugasan saya di bahagian Radar Plotter, selain turut merangkumi operasi di laut.

Paling lama di laut sekitar dua minggu kerana ia bergantung kepada saiz kapal, dan masa yang terluang saya manfaatkan sepenuhnya menelaah buku kerana keluargalah penguat semangat saya untuk meneruskannya sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui menjalankan operasi menggunakan aset kapal KM Perwira di sekitar perairan Johor Timur, di sini.

Bagi anggota Laskar Kelas II Maritim, Mohammad Zahidi Ali, 24, pengalaman menjadi anak perantauan di samping berbakti kepada negara merupakan kenangan manis buat dirinya. Katanya, ketika berada di laut, mereka hanya ada sesama sendiri sahaja dan itu membuatkan mereka seperti sebuah keluarga. Segala aktiviti seperti masak, berjaga malam, solat dan berbuka puasa semuanya dilakukan bersama-sama.

“Kalau ada ‘line’, dapatlah berbual di telefon dengan ummi yang berada di Semporna, Sabah. Saya sudah tiga tahun tidak pulang beraya, saat yang dirindui apabila waktu begini adalah ummi suapkan makanan.

“Ummi sentiasa memberitahu tugasan yang saya pikul adalah amanah yang perlu dilakukan seikhlas hati. Saya tidak hanya menjaga keselamatan negara, saya rasa bertanggungjawab untuk melindungi keluarga saya.

“Mungkin rezeki saya minat badan beruniform sejak dari kecil, jadi saya dapat tunang yang juga berkhidmat sebagai anggota polis,” katanya yang memaklumkan dia bertugas bahagian radio operator APMM.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply