Bimbang laluan ke rumahnya di sebuah perkampungan atas air di sini, terjejas akibat fenomena air pasang, enam sekeluarga sanggup bermalam dalam kereta sebagai langkah keselamatan malam semalam.

Riden Abdul Mutalib, 43, berkata dia sekeluarga keluar rumah yang kedudukannya hampir dengan kawasan darat di Kampung Forest kira-kira jam 9 malam selepas mendapati paras air laut mulai meningkat.

“Kami risau jika jambatan (ke rumah) roboh nanti, ia menyukarkan kami keluar rumah untuk menyelamatkan diri.

“Sudahlah banyak rumah di laut sudah roboh (kejadian malam Sabtu lalu). Jadi, tiada lampu di sana, menyebabkan keadaan gelap,” katanya ketika ditemui di kampung itu.

Pada malam Sabtu lalu, kira-kira 100 rumah di Kampung Forest roboh akibat fenomena air pasang besar.

Setakat ini, sebanyak 684 orang membabitkan 122 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Anib 2.

SANDAKAN, 25 Dis -- Sebahagian penduduk mencari peralatan yang masih boleh digunakan selepas rumah mereka roboh dipukul ombak akibat air laut pasang besar di kawasan setinggan di Kampung Forest hari ini.Sebanyak lebih 100 buah rumah musnah dan dianggarkan 500 buah rumah lagi terancam dipukul ombak berikutan air laut pasang besar malam tadi.-- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Riden berkata, dia sekeluarga memilih tidak berpindah ke PPS di SK Sungai Anib 2 kerana mahu menyelamatkan barang lain keluarganya, tetapi pihak keselamatan hanya membenarkannya pulang ke rumah apabila paras air sudah surut.

“Barangan mana yang boleh, akan diselamatkan. Kita tak sangka air pasang kembali seperti ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk di Kampung Forest, Zulaikah Ali, 23, berkata dia sekeluarga juga memilih tidak berpindah ke PPS malam tadi, sebaliknya menumpang di rumah saudara yang berada pada kedudukan tinggi.

Beliau berkata, insiden pecah masuk rumah di kawasan itu menjadi kebimbangan penduduk setiap kali sesuatu bencana berlaku.

Meskipun rumahnya tidak terjejas teruk oleh air pasang, dia berkata, bekalan elektrik di kampung itu dimatikan sebagai langkah keselamatan susulan kejadian beberapa rumah penduduk roboh dipukul ombak pada Sabtu lalu.

“Seorang bapa saudara saya terus tinggal untuk menjaga rumah bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan,” katanya.

 

Sumber : BH

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Lelaki Sanggup Meredah Banjir Demi Selamatkan Bapa Mertua Yg Lumpuh.

Marang: Meskipun bahaya, pengawal keselamatan Ibni Dauda Arifin sanggup meredah banjir bagi menyelamatkan bapa mentuanya, Ramli Awang Kechik yang lumpuh seluruh badan akibat diserang strok hemorrhagic iaitu pendarahan dalam kepala.

Kesungguhan Ibni Dauda, 44, dapat dilihat menerusi video dimuat naik video salah seorang ahli keluarga di TikTok.

Dalam rakaman video itu, Ibni Dauda dilihat bersungguh-sungguh menarik bapa mentuanya berusia 64 tahun yang baring di atas kayu di alas dengan kain walaupun air sudah berada pada paras dada.

Berkongsi kisah itu, Ibni Dauda berkata, dia menyelamatkan bapa mentuanya semalam sebelum masuk waktu Zuhur.

Bapa empat anak itu berkata, dia tidak berseorangan sebaliknya dibantu anak, Mohd Izzat Iskandar, 16, dan adik iparnya, Mohd Saudi Ramli, 36.

“Saya dan ayah tidak tinggal bersama. Ayah di Kampung Alor Wan Syed manakala saya tinggal berdekatan iaitu di Kampung Pengkalan Berangan dengan jarak dua kilometer (km).

“Oleh kerana ayah terlantar sakit jadi saya ambil tanggungjawab bantu bapa mentua memandangkan ramai anaknya tinggal berjauhan dengannya.

“Mencabar juga sebenarnya kerana paras air tinggi namun mujur anak dan adik ipar bantu saya untuk alihkan ayah daripada rumah ke tebing sebelum dibantu orang kampung untuk ke pusat pemindahan,” katanya.

Ibni Dauda berkata, apa dilakukannya hanya untuk jalankan tanggungjawab sebagai menantu.

“Ikutkan, ia bukan kali pertama saya bantu ayah ketika banjir malah pernah juga sebelum ini.

“Ia kerana kawasan rumah ayah memang sering dilanda banjir cuma kali ini paling buruk dalam sejarah,” katanya.

Sementara itu, adik iparnya, Mohd Saudi Ramli, 36, berkata, bapanya diserang strok sejak 15 Mac tahun lalu.

Mohd Saudi berkata, sejak itu, bapanya terlantar malah tidak boleh duduk mahupun bangun kerana lumpuh.

“Memandangkan air naik tinggi jadi saya, abang ipar dan anak saudara sepakat alihkan ayah ke tempat selamat.

“Kami ambil masa 20 minit juga untuk alihkan ayah dari rumah ke tebing kerana terpaksa bergerak perlahan berikutan air tinggi,” katanya yang juga anak kedua daripada sembilan beradik.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply