Hebatnya Tawakkal | Aku Bunga Melur berusia 35 tahun. Aku menulis kerana ada sedikit pengalaman hidup mengharungi badai kehidupan selepas diuji dengan kegagalan dalam sebuah pekerjaan.
Aku adalah seorang graduate daripada sebuah universiti swasta di Shah Alam. Pointer ketika aku graduate hanya 2.45 sahaja. Aku telah habis berusaha ketika di universiti dan itu sahaja yang mampu aku sumbangkan.
Keluarga aku memang orang susah. Mak aku berkerja sebagai peniaga pasar malam manakala ayah aku hidup dia bergelumang dengan najis dadah tetapi dia juga yang mak harapkan untuk bawa kereta@van untuk pergi berniaga.
Selain berniaga pasar malam mak ada sebuah kedai di kampung. Kedai itulah mata pencarian kami sekeluarga dari aku kecik sampai aku dewasa. Setelah tamat belajar aku tidak dibenarkan bekerja di Kuala Lumpur. Mak dan ayah hanya benarkan bekerja di dalam negeri sahaja.
Setelah tamat belajar aku berkerja dan aktiviti setelah habis waktu berkerja adalah berniaga dipasar malam dan hujung minggu aku kena jaga kedai. Masatu aku tak kisah sebab aku nak balas jasa mak ayah aku yang dah hantar aku belajar. Walaupun gaji aku hanya RM1400 sahaja masatu tapi aku dapat belanja macam-macam dekat mak dan ayah.
Langit tu tak selalu cerah aku berhenti kerja dan hanya fokus pada berniaga. Mak dan ayah memang marah dan kecam aku. Aku tetap berniaga dan jaga kedai. Mak bagi aku gaji RM1000 untuk aku beli barang keperluan. Pagi aku bangun seawal pukul 5 sebab mak dah start berniaga dipasar borong. Balik Dari pasar borong aku kena bawa van untuk ambil bekalan jualan yang jaraknya 1 jam setengah pergi dan balik.
Sebelah petang pula jam 3.30 petang aku dah siap sedia untuk ke pasar malam. Hari yang tak berniaga di pasar borong pula aku kena jaga kedai. Masatu aku memang fokus berniaga. Aku tolak ketepi pandangan orang kampung. Yang penting aku bahagia. Keadaan aku memang selekeh. Pakaian aku, tak ada istilah nak makeup bagai. 3 tahun aku hidup dengan jadual yang padat macam tu.
Sampai la pada satu masa tahun 2013. Masatu aku nak kawin. Sebulan sebelum tarikh aku nikah mak aku cakap nak dapur baru. Semalam dia cakap hari ni dah panggil orang robohkan dapur yang lama sedangkan simpanan mak hanya RM6000 je dalam bank. Dan mak hanya harap duit kwsp dia RM17000 yang akan keluar lebih kurang dua bulan lagi. Dan aku syak mak aku harapkan duit hantaran aku berbaki RM7000 dari pihak lelaki.
So total semua RM30000. Tapi mak aku tak kira pulak majlis aku nak pakai banyak duit. Aku tersandar. Mak buat keputusan tanpa bincang apa-apa. Aku teruskan berniaga macam biasa. Baru 4 hari projek rumah berjalan mak dah serahkan segala pembelianbarang kayu batu simen semua kat aku sebab tukang indonesia mak upah hanya kerja buat rumah barang kami beli sendiri.
Aku bertambah susah hati. Lagi parah tukang tu minta upah buat rumah RM17000 dan mak setuju. Aku ni memang tak pandai nak argue dengan mak aku sebab mak aku ni jenis tak makan saman. Aku bertawakal bulat-bulat pada Allah SWT.
Tinggal kurang lebih 25 hari untuk aku laksanakn semua. Aku berniaga bermatian-matian, setiap hari stress jangan cakap sebab jiran-jiran aku jenis kaki kondem dan kecam. Adik beradik aku memang tak membantu langsung. Mereka jenis lepaskan tengkuk sendiri. Yang aku harap pun adik aku yang masih bersekolah. Bila balik berniaga aku tengok senarai barang yang tukang order, aku urut dada.
Yang peliknya dengan kuasa Allah, aku boleh bayar dan barang rumah mozek, simen kayu sampai dalam waktu yang tepat dan projek jalan macam biasa. Tukang buat rumah aku ada 4 orang. Diaorang memang cekap la. Dan lupa nak bagitahu luas dapur mak idaman mak aku 20×80!!!! Seluas sebijik rumah.
Masa tu mak aku dah tak pergi berniaga, dia harapkan aku 100%. Mak aku sediakan barang-barang tambahan untuk bekalan niaga. Bapak aku memang tak ambik port. Aku hanya berniaga pasar borong dan pasar malam sahaja dibantu adik aku yang umur baru 16 tahun. Kesian aku tengok adik aku. Pagi pergi sekolah petang tolong aku niaga.
Setiap apa yang aku jual laku macam goreng pisang panas. Aku susun betul-betul strategi. Bekalan barang berniaga memang cukup. Barang hantaran segala persiapan perkahwinan memang aku da siapkan awal-awal sebelum badai besar ni muncul. Hal tu memang aku bersyukur.
10 hari sebelum tarikh siap rumah. Duit dekat tangan aku habis. Aku tersandar. Aku tak tahu nak buat macam mana. Aku tebalkan muka meminjam abang sulungku duit. Dia bagi RM600. Aku pinjam lagi RM600 pada kakak aku. Dengan modal RM1200 tu aku beli barang niaga dan sekali lagi aku bertawakal pada Allah SWT. Alhamdulillah. Untung berlipat Kali Ganda.
Rezeki aku dapat payment RM1250 hasil daripada mengajar part-time dekat PLKN 3 bulan sebelum kejadian. Dengan kuasa tawakal juga tokey supplier barang niaga bagi aku angpow untuk majlis kawin aku. Duit tu semua aku bayarkan duit tingkap kaca yang aku tempah dekat kedai cina. Tingkap memang mahal. Kalau korang nak tahu tokey tu dah call aku 3 hari berturut-turut cuma aku tak angkat sebab duit aku tak cukup. Berkat dapat payment n angpau aku terus pergi bayar.
3 hari sebelum majlis aku bermula alhamdulillah rumah siap. Aku menangis masa berdiri depan dapur mak aku. Aku menangis meraung sebab bila tengok bil beli barang semua total RM65k total keseluruhan termasuk upah bayar pekerja dan kerja mengecat. Aku teringat aku terkejar ke hardware untuk tempah mozek dan kalau barang tak cukup, aku pergi beli sendiri dan angkut pakai van.
Aku menangis sebab aku hanya spend 2 jam je fitting baju kawin dan lepastu aku berkejar pergi niaga. Aku sujud syukur dan 4 orang pekerja indon ni seakan mengerti apa yang aku alami sebulan ni. Bakal suami aku memang bangga sangat dengan aku. Yang paling bermakna adalah senyuman daripada mak aku. Hari perkahwinan aku berlangsung pada 31/8/2012 berlangsung dengan gilang gemilang. Seluruh kampung sanak-saudara datang. Aku bahagia.
Pada malam selepas aku nikah. Akak dan abang aku dah beratur tuntut hutang. Dengan duit hantaran tu aku bayar. Alhamdulillah perancangan Allah lebih baik. Duit buat rumah cukup dan tak kacau duit hantaran aku. Segala perbelanjaan majlis perkahwinan cukup tanpa ada hutang. Tapi aku tak ada budget honeymoon pun. Asal majlis selamat pun kira alhamdulillah.
Mungkin orang akan cakap aku mereka cerita dan berbohong. Biar aku jelaskan pagi aku berniaga membekalkan barang mentah kepada peniaga macam pisang dan sayur kampung kepada peniaga lauk-pauk. Semua hasil bumi tu mak dapatkan di sekitar kebun dan ada orang yang jual dengan mak. Dalam sebulan ni mak gandakan jumlah pisang dan bekalan lain.
Petang aku berniaga pasar malam dengan jual segala jenis buah buahan. Yang ni pun aku gandakan bahan mentah supaya jualan meningkat. Aku juga ada kedai jual barang makanan traditional. Kalau tak dan nak bukak kedai aku jual je barang-barang tu kat pasang borong dan pasar malam. Asal barang jadi duit. Senget benget van tu aku bawak. Penuh jangan cakap. Nak kemas dan turun barang, huhuhu. Nasiblah pekerja pasar malam aku ni badan macam badang.
Kini setelah 8 tahun ibuku telah kembali ke pemilik asal. Aku telah dikurniakan 2 orang anak. Aku masih lagi hidup dengan berusaha dan bertawakal kepada Allah. Perniagaan arwah mak telah diserahkan kepada adik aku yang banyak membantu aku dulu. Sekarang dia berjaya membina hidup tanpa menyusahkan orang lain. Aku tak pernah fikir yang berniaga dipasar tu jalan yang salah. Walaupun ramai yang kecam pade awal pemb**itan aku.
Persoalan kenapa aku tak berkerja dibidang professional dan menjanjikan masa depan yang gemilang Tak dapat aku jawab sebab rezeki kerja Allah. Tak semua yang belajar tinggi tu berjaya duduk dikerusi empuk. Aku redha sebab rezeki aku dengan cara aku sendiri.
Kisah ni aku tulis sebab nak share kepada mereka yang telah kehilangan kerja masa covid-19 bahawa bersabar berusaha dan tawakal kepada Allah. Pasti ada jalan keluar. Sehebat-hebat perancangan kita hebat lagi perancangan Allah.
Adios.
– Melur (Bukan nama sebenar)
Kredit: IIUM Confessions