Seorang ibu tunggal dipukul di bahagian muka malah diugut bunuh oleh anaknya sendiri hanya kerana suspek tidak berpuas hati hubungan mangsa dengan lelaki lain dalam kejadian di sebuah premis di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 1 tengah hari semasa mangsa berada di kedai miliknya di Jalan Utama 1/11, Taman Perindustrian Puchong Utama di sini sebelum didatangi suspek.
“Suspek seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun bertindak terus memarahi ibunya di kedai terbabit.
“Punca kejadian dipercayai kerana suspek menuduh mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain selepas kematian bapanya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Wan Azlan berkata, bertindak di atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Rumahtangga dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya berjaya menahan suspek sekitar jam 11.30 malam Selasa.
Beliau berkata, hasil ujian urin terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan semakan mendapati suspek mempunyai 15 rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.
“Suspek direman tiga hari bermula Rabu hingga Isnin bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan merujuk kepada kesalahan menakutkan secara jenayah.
“Jika disabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali,” ujar beliau.
Sumber : SH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Adik Menyebabkan Kematian Abang
Seorang lelaki warga Pakistan didakwa di Mahkamah Seksyen Sungai Petani menyebabkan kematian abangnya dalam kejadian di Taman Desa Meranti dua minggu lalu.
Tertuduh, Ali Ashtar, 24, didakwa melakukan perbuatan itu pada jam lebih kurang 10.30 malam bertempat di sebuah rumah di taman perumahan terbabit 31 Disember lalu.
Mengikut pertuduhan, dia telah melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Mukhtiar Ali, 39, yang juga merupakan seorang warga Pakistan dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan boleh dihukum di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Galvin Loo Wei Ming manakala tertuduh diwakili Peguam SP Raman.
Hakim Azman Abu Hassan menetapkan sebutan semula kes pada 20 Februari 2023 bagi mendapatkan jurubahasa Urdu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang abang maut ditikam selepas dikatakan tidak bersetuju dengan keputusan adiknya yang mahu pulang ke negara asalnya di Pakistan.
Mangsa dipercayai bertindak menyembunyikan tiket penerbangan dengan tujuan menghalang adiknya pulang menyebabkan tercetus pergaduhan.
Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah dipercayai ditikam di paha selain kesan lebam pada badan.
Mangsa yang tidak sedarkan diri kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.37 malam.
Sumber: KMN