Pengalaman Aku Ditindih Oleh Sesuatu. |Assalamualaikum, nama aku “L” bukan nama sebenar. Cerita yang aku nak kongsikan tentang pengalaman ditindih hantu.

Ditindih

DITINDIH HANTU

Untuk yang tak tahu apa itu istilah “ditindih hantu”, aku terangkan sikit. Ianya akan berlaku masa kita tidur. Kita akan nampak sekeliling kita tapi kita tak mampu untuk gerakkan seluruh badan dan tak mampu untuk mengeluarkan satu perkataan pun. Hanya boleh bercakap dalam hati. Ada juga boleh sampai ke tahap sesak nafas.

Cerita aku ni berlaku pada tahun 2015 kalau tak silap. Aku ditindih untuk 3 hari berturut-turut. Hari pertama, aku pun tak ingat.

Hari kedua, sedang aku buat assignment, aku terasa sangat mengantuk dan mengambil keputusan untuk tidur dengan meletakkan kepala diatas meja sahaja.

Sedang hampir aku terlelap, aku terasa seakan ada sesuatu yang datang dari belakang. Aku terus bangun dan lihat di belakang aku. Tiada sesiapa.

 

TERASA BADAN TIDAK DAPAT BERGERAK

Aku bangun dan cuba sambung tidur diatas katil pula. Aku tidur sambil mendengar lagu menggunakan earphone. Apabila aku sudah hampir terlelap. Aku terasa badan aku tak lagi dapat bergerak.

Ya, aku telah ditindih. Yang membuatkan aku bertambah seram ketika itu, lagu yang sedang dimainkan dalam playlist aku, muzik instrumental cerita “Corpse Bride”.

Boleh dikatakan seram la juga muzik ni. Berbagai surah aku cuba baca untuk lepaskan diri dari ditindih.

Sampailah, roomate aku yang sedang tidur di katil tingkat atas bergerak yang sekaligus menggerakkan tubuh aku. Secara tak sengaja aku terlepas dari ditindih.

Hari ketiga, aku sedang tidur di atas katil aku, dan katil sebelah aku kosong kerana roomate aku balik kampung. Tiba-tiba aku terasa badan aku kaku lagi untuk malam ini seperti malam sebelumnya.

BACA SURAH-SURAH

Macam biasa, aku akan cuba membaca berbagai surah. Tapi malam ni lain, bila aku baca ayat kursi. Untuk setiap baris ayat kursi yang aku baca, aku dapat dengar dengan jelas suara perempuan mengikut bacaan ayat kursi aku dengan nada yang mengejek dari arah katil sebelah aku.

Aku menjadi semakin resah, kalau dia pun pandai baca ayat kursi, apa yang patut aku baca untuk halau dia. Tapi untuk ayat terakhir ayat kursi, jin atau syaitan tak boleh ikut, itu yang aku tahu la.

Aku terus baca sampai ke ayat terakhir. “walayauddhuhu… ” dan aku dengar suara “dia”… “walalalalala” dengan nada yang mengejek dan bacaan yang laju. Allahu, berderau darah aku masa tu.

Tapi nasib aku baik, lepas selesai bacaan ayat kursi tu, aku terlepas dari ditindih dan tersedar. Suara tu pun tak lagi kedengaran. Malam seterusnya aku tak lagi diganggu “dia”.

Sumber : kisah Misteri

Share.

Leave A Reply