Kes Meningkat Di Kelantan Kerana Ziarah Raya Dan Solat Jemaah | Kes jangkitan Covid-19 di Kelantan meningkat secara mendadak sehingga 900 kes sehari. Peningkatan jumlah kes itu didapati berpunca daripada kegiatan aktiviti ziarah raya dan juga solat secara berjemaah di Surau.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, pada masa sama, berlaku rentas negeri yang turut menyumbang kepada peningkatan kes. Kenaikan kes di Kelantan adalah di luar jangkaan kerana terlalu tinggi selain kewujudan kluster yang banyak.
Selain daripada peningkatan jumlah kes berjangkit itu, jumlah kematian disebabkan oleh Covid-19 di Kelantan turut meningkat secara mendadak. Berlaku sebanyak 37 kematian pada April dan 117 kematian pada Mei lalu. Dijangkakan kes di Kelantan terus meningkat melebihi 1,000 kes sehari pada Jun ini memandangkan kes sudah berada dalam komuniti.
Perkara sebegini berlaku disebabkan oleh kegagalan kita (rakyat) mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Malah, yang terbaru kita kesan masih ada penduduk melakukan solat jemaah di surau di Pasir Mas sehingga menyebabkan 37 positif di Kampung Chetok.
Sidang media itu dilaksanakan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob. Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin.
Menurut Dr Izani, sebanyak 12 lokasi dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kelantan dan dijangka akan disambung sekiranya jumlah kes masih tinggi. Sebanyak 14 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sudah dibuka dan dijangka bertambah dengan peningkatan kes.
Sumber: Harian Metro