Kes wanita yang tular di media sosial kerana berpakaian ihram seperti lelaki di Makkah, sudah selesai secara baik melalui penyelesaian luar mahkamah sejak hampir sebulan lalu.

Kes Pengkid Pergi Mekah, Ini UPDATE Terbaru Dari JAIPk

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin, berkata wanita berperwatakan lelaki atau ‘pengkid’ berkenaan tampil bersama ibu bapanya di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Perak Tengah, Seri Iskandar dan melalui sesi kaunseling.

“Kes sudah selesai hampir sebulan lalu selepas pihak kita mengambil keterangan serta semua maklumat berkaitan dengan kehadiran bersama ibu serta bapanya. Alhamdulillah mereka berikan kerjasama amat baik.

“Wanita itu sudah selesai berikan kenyataannya kepada kita. Insya-Allah kita ada cara tersendiri bagaimana hendak menangani kes seumpama ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Karnival Pendidikan Islam Sepanjang Hayat Negeri Perak (K-PISH) di Dewan Institut Tadbiran Islam Negeri Perak (INTIM), di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Bahagian Kurikulum Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Norhayati Zakaria.

Ditanya mengenai tindakan susulan terhadap wanita berkenaan, Mohd Yusop berkata, JAIPk menggunakan pendekatan tersendiri antaranya membabitkan sesi kaunseling.

“Tidak semestinya dalam kita mencegah sesuatu, ia perlu bersifat suatu hukuman, tangkap, apatah lagi mendera kerana ada kaedah lain yang boleh kita buat tambahan pula dia dan keluarganya berikan kerjasama sangat baik dengan datang sendiri kepada kita.

“Mudah-mudahan dia sedar kesilapan yang dilakukannya serta insaf. Pada saya jika dia tidak insaf dan rasa bersalah, dia takkan datang pun kepada kita sebaliknya mereka datang dengan sukarela,” katanya.

Mengenai kemungkinan kes seumpamanya berulang, beliau berkata ia bergantung kepada keseriusan kesalahan berkenaan selain bilangan kesalahan sama yang dilakukan secara berulang.

“Kadangkala mungkin kesalahan itu buat tanpa sedar dan tanpa niat serta tiada maksud tertentu. Dan mungkin ada kesalahan yang memang sengaja dilakukan di samping dilakukan secara berulang.

“Umpamanya jika didapati kesalahan itu berulang dan sengaja dilakukan, maka sudah tentu tindakan tegas akan diambil,” katanya..

Kes berkenaan menjadi tular Ogos lalu apabila wanita berkenaan yang berada di Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki dan didakwa menggunakan visa pelancong dan bukan menerusi khidmat agensi bagi mengerjakan umrah.

Sumber : HM

 

Share.

Leave A Reply