KKM Mohon Maaf Suntik Picagari Kosong – Dr. Noor Azmi.

| October 1, 2021 | 0 Comments

KKM Mohon Maaf Suntik Picagari Kosong – Dr. Noor Azmi. | KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memohon maaf kepada ibu bapa seorang pelajar yang disuntik vaksin Covid-19 dengan picagari kosong.

KKM mohon maaf suntik picagari kosong – Dr. Noor Azmi

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, pihak Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) amat kesal dengan kejadian itu.

“Kita mohon maaf kepada ibu bapa dan remaja yang terlibat di atas kesulitan yang berlaku. Kejadian ini disifatkan sebagai kesilapan ketika bertugas atau human error.

“Petugas kesihatan berkenaan telah diberi amaran untuk lebih berhati-hati dan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau mengulas satu video tular yang menunjukkan rakaman proses vaksinasi ke atas seorang remaja berusia 12 tahun menggunakan picagari kosong oleh seorang petugas kesihatan (penyuntik).

Menurut Dr. Noor Azmi, siasatan awal oleh ProtectHealth mendapati kejadian itu berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaya (UM) pada 30 September lalu.

“Dalam kejadian pada jam 3.16 petang itu, petugas kesihatan tersebut telah tersalah ambil satu picagari kosong yang belum digunakan dari ruangan meja yang sama dengan picagari berisi vaksin.

“Petugas kesihatan itu telah mengikut prosedur ditetapkan seperti menunjukkan vaksin dikeluarkan dari botol vaksin melalui picagari dan menunjukkan picagari berisi vaksin dengan dos yang sepatutnya kepada ibu remaja berkenaan.

“Setelah menunjukkan picagari berisi vaksin, beliau meletakkan sebentar picagari tersebut di atas meja untuk melakukan proses nyahkuman di lengan remaja sebelum memberikan suntikan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, petugsa kesihatan itu tersalah ambil picagari yang kosong dan membuat suntikan ke lengan remaja tersebut.

Katanya, setelah selesai, petugas kesihatan itu menyedari kesilapan beliau dan memaklumkan kepada Pegawai Perubatan yang bertugas di PPV UM.

“Kedua-dua mereka segera mengadakan perbincangan dengan ibu bapa remaja tersebut.

“Setelah memahami penjelasan diberikan, ibu bapa remaja berkenaan memberi kebenaran untuk remaja tersebut diberikan suntikan vaksin di lengan berlainan mengikut Prosedur Dos Kurang.

“Prosedur Dos Kurang merupakan garis panduan klinikal yang mencadangkan pemberian vaksin di lengan yang berlawanan jika dos pertama dianggap tidak mencukupi dan dos semula diperlukan,” kata beliau.

Beliau berkata, prosedur dalaman juga telah ditambah baik dengan memastikan tiada picagari lain di ruangan meja yang sama ketika memberi suntikan.

Ini, katanya, bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang dan keselamatan serta kesejahteraan penerima vaksin sentiasa menjadi keutamaan KKM.

Sumber: Malaysia Gazette

Tags: , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *