Kluster Baru Covid-19: Kluster Bangau Pula Dikesan Di Semporna | Kuala Lumpur: Penularan wabak Covid-19 di Sabah kian membimbangkan apabila satu lagi kluster baharu dikenal pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Bangau di Semporna itu dikenal pasti hasil saringan kemasukan pesakit di Hospital Semporna.
“Sebanyak lima kes iaitu kes ke-10,340 sehingga ke-10,344 dikesan positif Covid-19, semalam. Daripada jumlah itu, empat adalah warganegara dan satu bukan warganegara.
“Kesemua mereka tidak bergejala dan sudah dimasukkan ke Hospital Semporna untuk rawatan,” katanya ketika sidang media Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, setakat 12 tengah hari ini, seramai 97 individu sudah disaring iaitu lima individu yang dikesan positif dan 92 individu masih menunggu keputusan.
“Langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan pembersihan dijalankan di Hospital Semporna, namun punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.
Katanya, perkhidmatan di Hospital Semporna berjalan seperti biasa.
Sumber : HMetro