Ku Temui Jodoh Dalam Istikharah | Assalamu’alaikum. Aku perkenalkan diri sebagai Lin. Hampir enam tahun mendirikan rumah tangga dengan jodoh istikharah. Alhamdulillah, Allah kurniakan aku jodoh yang bertanggungjawab, penyanyang, ringan tulang, pemurah dengan family & tidak merokok. Aku just nak share perjalanan hidup aku dalam mencari imam hidupku. Antara enam beradik, aku kahwin yang paling lewat.
Masa zaman study di universiti aku bukan tidak pernah kenal mana-mana
lelaki, tapi cinta tak kesampaian. Bila beralih ke alam perkerjaan &
usia makin meningkat, aku serius untuk mencari calon suami.
Waktu ini aku decide mana-mana lelaki yang aku jumpa, aku tak mahu kenal
lama-lama. Sebab cuma membuang masa & air mata bila cinta berakhir
dengan perpisahan. Sungguh, putus cinta itu amat menyakitkan. Aku tak
sanggup laluinya lagi.
Sepanjang tahun 2012 & 2013 aku ada berkenalan dengan beberapa orang
lelaki. Tapi ada saja halangan untuk kami menjalani hubungan yang lebih
serius.
Pada tahun 2014, umur aku ketika itu sudah menginjak 26 tahun.
Membuatkan aku makin nekad mencari calon suami. Memandangkan adik aku
pun sudah mendirikan rumah tangga.
Sesiapa sahaja yang menemui aku bertanyakan tentang jodoh, aku minta
mereka mendoakan ku. Aku juga ada minta doa orang alim melalui
perantaraan abang iparku supaya mendoakan jodoh aku dipermudahkan.
Setelah beberapa hari, orang alim tu memberitahu insyaAllah suatu hari
nanti ada seorang rakan satu sekolah ku yang akan datang menikahi aku.
Aku hanya mendengar apa yang disampaikan oleh abang iparku tanpa ambil
serius.
Sebab ketika itu aku tidak mempunyai kenalan lelaki dari kalangan rakan
sekolah. Lagipun pada zaman sekolah aku seorang yang pemalu & bukan
jenis berkawan dengan pelajar lelaki. Mana mungkin jodohku dalam
kalangan mereka.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Jodoh belum aku temu. Dalam
masa yang sama aku mengalami tekanan di tempat kerja. Aku tidak mampu
menghadapi bebanan tugas yang melampau.
Ketika itu aku memegang jawatan sebagai eksekutif. Dengan sukarela aku
lepaskan jawatan tersebut walau gaji sudah menjangkau 3k+.
Aku beralih membuat bisnes online. Menjual pakaian muslimah. Setiap hari
aku post produk bisnes ku di fb. Siapa sangka melalui posting ku di fb,
aku bertemu jodoh. Sungguh, kuasa Allah Yang Maha Esa..
Mohamad, yang kini merupakan suami ku telah meng’like’ gambar produk ku.
Like beliau telah naik di notification.
Ketika itu juga aku teringat, beliau pernah chat aku di messenger ketika
tahun 2013. Tapi kami cuma chat biasa sahaja. Dia bertanyakan kenapa add
beliau sebagai friend & adakah aku kenal beliau.
Aku jawab kenal, pernah satu sekolah. Beliau ada bertanyakan namaku tapi
aku tidak membalas. Ketika itu aku rasa tidak berminat untuk berkenalan
dengan beliau, memandangkan aku sedang berkenalan dengan lelaki lain.
Jadi perbualan kami terhenti cuma disitu.
Setelah mengingati kami pernah chat, aku buka kembali messenger.
Ternyata ada persoalannya yang masih belum aku jawab.
Ketika itu sudah masuk pertengahan 2014, aku mencuba nasib. Aku membalas
chat tersebut dengan memberitahu namaku Aslin. Mana tahu, ada rezeki dia
membalas kembali chatku. Allahu..
Ternyata rezeki menyebelahi aku. Beliau membalasnya. Kami saling
membalas chat & pada hari yang sama juga aku memberanikan diri
menyampaikan hasrat hati sebenarnya diriku mencari calon suami. Aku
bertanya adakah beliau sudah berpunya. Beliau menyatakan tidak.
Aku juga menyatakan diriku belum berpunya & mengajak beliau melakukan
solat istikharah jika berniat menjadikan aku sebagai isteri. Aku
peruntukkan masa sebulan untuk istikharah.
Selepas sebulan, kami perlu memberitahu apa keputusan solat istikharah
yang kami perolehi.
MasyaAllah…
Malam itu perasaan aku bercampur baur. Aku rasa sedikit gementar. Terus
teringat kata-kata orang alim tersebut mengenai jodohku. Mungkin apakah
ini yang dimaksudkan oleh beliau.
Walau sudah ada hint, aku tetap melakukan solat istikharah kerana kami
kenal cuma sehari melalui chat mesengger. Tiada apa yang dapat aku nilai
melalui chat tersebut. Aku manusia yang lemah.
Aku tidak mampu menilai kebaikkan & keburukkan orang. Tidak tahu
sejauh mana ketulusan hatinya. Tapi aku yakin Allah ada jawapan untuk
persoalan itu semua. Sesungguhnya, Allah lah tempat aku bergantung.
Aku tidak mahu tersalah langkah. Walau aku cuma dari background family
yang biasa-biasa, tapi aku mahukan calon imam yang terbaik untuk
mahligai yang bakal aku bina.
Sepanjang tempoh sebulan, tiga kali aku mimpikan Mohammad. Salah satunya
aku bermimpi beliau mengimamkan aku solat di sebuah surau. Mohammad juga
ada mimpikan aku.
Ibu Mohammad turut melakukan solat istikharah untuk kami, alhamdulillah
mimpi ibunya juga positif.
Urusan pekahwinan kami amat mudah walau perkenalan kami singkat.
Bulan Julai 2014 kami berkenalan. Bulan Ogos kami mendapat keputusan
istikharah. Bulan September kami berjumpa, bulan Oktober beliau berjumpa
dengan family ku.
Bulan November family beliau datang merisik dan bulan Februari 2015 kami
diijab kabul. Alhamdulillah kini, kami sudah dikurniakan dua orang
cahaya mata yang soleh.
Pesanan aku, dalam melakukan sesuatu letakkan Allah yang paling hadapan.
Mintalah petunjuk dariNya. Sesungguhnya Dialah sebaik-sebaik pemberi
jawapan. Syariat telah berikan jalan. Cuma terpulang pada kita untuk
lakukan @ ketepikan.
Jangan pernah sedih @ kecewa andai orang yang kita suka tidak hadir
dalam usaha istikharah yang kita lakukan kerana Allah lebih tahu ape
yang terbaik untuk hambaNya.
Dan aku ingin memberitahu walau Mohammad adalah jodoh istikharah ku,
tidak bermakna tiada badai & ujian yang Allah berikan kepada kami. Ada,
tapi dengan izin Allah ujian yang Dia beri dapat kami hadapi dengan jiwa
yang rasional.
InsyaAllah andai ada rezeki, aku akan sambung confession tentang ujian
berat yang Allah hadirkan untuk kami sebagai ped0man untuk kita semua
makin dekat denganNya. Pastinya, ia bukan ujian yang biasa-biasa.
– Aslin (Bukan nama sebenar)
Kredit: IIUM Confessions