Penduduk Bantah Unit Kondo Dijadikan Asrama Pekerja Warga Asing

| July 13, 2021 | 0 Comments

Penduduk Bantah Unit Kondo Dijadikan Asrama Pekerja Warga Asing | Penduduk sebuah kondominium di Selayang meluahkan rasa tidak senang apabila sekurang-kurangnya 10 unit di perumahan itu dijadikan asrama pekerja warga asing sebuah kilang.

Penduduk Bantah Unit Kondo Dijadikan Asrama Pekerja Warga Asing

Seorang penduduk, Wan Yusma Wan Yusoff, 37, berkata, lebih 364 penghuni di dua blok perumahan tersebut telah menurunkan tandatangan membantah penempatan pekerja asing di sana dan berharap pengurusan kilang memindahkan pekerja-pekerja mereka ke asrama yang lebih sesuai, jauh daripada penginapan penduduk.

Bantahan telah disuarakan susulan peningkatan kes Covid-19 dan penduduk khuatir terdedah kepada jangkitan ekoran perlu berkongsi fasiliti bangunan terbabit terutama lif.

“Mereka ramai, setiap syif sekurang-kurangnya tiga hingga empat bas akan mengambil mereka. Lif akan menjadi sesak antara jam 8 pagi dan 5 petang, sama waktu ketika penduduk tempatan pergi dan balik bekerja.

“Di Blok A, hanya dua lif berfungsi dan satu daripadanya telah dikhususkan kepada mereka, namun ada juga dalam kalangan mereka yang menggunakan lif penduduk, tanpa ada penjarakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut beliau, penduduk juga sangsi dengan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan pemantauan pekerja asing yang dijangkiti Covid-19.

“Sebuah rumah telah dijadikan pusat kuarantin, mana-mana pekerja yang positif Covid-19 akan ditempatkan di situ.

“Namun yang menjadi persoalan adakah unit kuarantin itu mengikut piawaian ditetapkan KKM dan sejauh mana pemantauan dilakukan ke atas mereka yang positif ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, S Saravanan, 41, berkata, pihaknya terpaksa membuat laporan polis pada Sabtu lalu meminta pemeriksaan dilakukan ke atas asrama pekerja asing yang didakwa tidak mematuhi SOP.

“Unit yang dijadikan asrama pekerja ini seperti tidak dipantau, sepatutnya masa PKP perlu duduk di rumah tetapi mereka dilihat bebas keluar masuk, ada yang datang berbual seperti tiada apa-apa berlaku.

“Susulan laporan itu, pihak polis dan pegawai pejabat kesihatan turun membuat pemantauan, selepas itu barulah nampak ada perubahan, mereka nampak lebih patuh berbanding sebelum ini,” ujarnya ketika ditemui.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Hairul kamalruzaman, 36, berkata, dia berharap supaya aspek kesihatan dan keselamatan penduduk tempatan diberi keutamaan dengan memastikan SOP KKM dipatuhi oleh pekerja asing yang tinggal di perumahan tersebut.

“Penduduk mempersoalkan kaedah pemindahan pesakit Covid-19 dari Blok B ke unit kuarantin di Blok A. Pemindahan tersebut bukan diuruskan oleh KKM sebaliknya pengurusan kilang tersebut.

“Sepatutnya mereka yang dikuarantin perlu duduk di rumah tetapi mengapa perlu dipindahkan ke unit lain, apabila mereka gunakan laluan awam dan lif yang sama, pasti ia merisikokan penduduk lain,” katanya.

Beliau menuntut ketelusan pihak pengurusan dalam menyampaikan maklumat yang dakwanya penduduk sukar mendapat info penghuni dijangkiti Covid-19.

“Harap pengurusan terbuka dan kongsi maklumat supaya penduduk peka serta berwaspada,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan, pihaknya cuba menghubungi pihak pengurusan kondomium untuk mendapatkan maklum balas, bagaimanapun panggilan tidak dijawab.

Sumber: Sinar Harian

Tags: , ,

Category: INFORMASI, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *